Syarat projek Rumah Madani perlu meliputi keselesaan, infrastruktur lengkap - PM

Anwar (kanan) bersama Ketua Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (dua,kanan) melihat replika Residensi Suria Madani pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa, pada Khamis. Foto Bernama
Anwar (kanan) bersama Ketua Pengarah Urusan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum (dua,kanan) melihat replika Residensi Suria Madani pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarat pembinaan projek perumahan baharu Madani perlu meliputi aspek keselesaan hidup, kehijauan kawasan, kemudahan rekreasi dan kemudahan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kemudahan rakyat ini termasuklah gerai Madani yang perlu diberi penekanan dalam pembinaan projek perumahan baharu.

"Setiap rumah berpendapatan rendah mahupun sederhana mesti diberikan sedikit keselesaan...ada taman, kalau tak besarpun yang kecil, kena ada padang permainan untuk tempat hidup keluarga dan anak.

"Mana mungkin duduk rumah pangsa, turun dan bila nak main tu di tepi jalan. Jadi kena ada sedikit kawasan hijau, ada dewan, ada surau dan kawasan luas mesti ada masjid dan rumah ibadat. Ini semua syarat yang kita tetapkan sebagai syarat yang harus diberikan (oleh pemaju),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa di sini pada Khamis.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, ruang niaga Madani juga mestilah disediakan dengan lebih sederhana, sesuai dengan keperluan dan kemampuan penduduk setempat, dengan mempunyai segala utiliti untuk menjalankan perniagaan.

"Orang boleh cakap dan janji tapi ukurannya adalah kepada pelaksanaan. Sebab itu perumahan Suria Madani ini kalau boleh kita jadikan contoh kelulusan yang cepat, keselesaannya dan kemudahannya yang ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, beliau juga mahu kemajuan setiap projek di ibu kota dibentangkan secara berkala kepada Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), agar segala proses mengikut jadual ditetapkan.

"Jangan pandang ringan. Saya mahu rekod bila dibentangkan laporan dan usul kepada DBKL nanti bila mesyuarat pertama diadakan, berapa puluh jabatan yang perlu diteliti dan berapa cepat kelulusan itu diberikan.

"Dan ini harus terpakai pada semua projek akan datang. Kalau tidak memenuhi syarat, laporan juruteknik ada alasan ditangguhkan tapi penangguhan itu harus diberi tempoh. Kalau tiada alasan, maka tiada sebab lewat, terutama projek-projek rakyat ini," katanya.

Sebanyak 800 unit Residensi Madani akan dibina syarikat pemaju Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) di atas tanah berkeluasan 0.99 hektar, membabitkan pembinaan dua blok bangunan dengan rumah berkeluasan 800 kaki persegi, akan dijual pada harga RM200,000. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!