Tamak jual dadah walau gaji sebagai konsultan lebih RM6,000
MACHANG - Seorang bekas konsultan di sebuah syarikat kejuruteraan di Nilai, Negeri Sembilan nekad mengubah hidup selepas menyedari wang haram yang diperoleh hasil jualan dadah tidak pernah memberinya kebahagiaan.
Lelaki berusia 48 tahun yang mahu dikenali sebagai Jie berkata, kini perlu menjalani kehidupan selama lapan bulan di bawah seliaan Pusat Pemulihan Akhlak Machang selepas didapati bersalah memiliki heroin.
Berkongsi kehidupannya terlibat dengan dadah, Jie, memberitahu, akibat tamak dan mahu hidup mewah, dia mula mengedar dadah pada tahun 1998 walaupun sudah bergaji lebih RM6,000.
"Hasil pendapatan mengedar dadah mencecah sehingga RM10,000 dalam tempoh seminggu tetapi wang itu 'lesap' begitu sahaja.
"Selain mengedar saya terjebak dengan penagihan dadah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan," katanya ketika ditemui pada Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) Sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani 'Kepulangan Yang Dinanti' di PPA Machang pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Mohd Nasir Yusof.
Jie merupakan antara 14 OBB yang mendapat peluang bekerja di bawah program berkenaan dan dia terpilih untuk membantu sebuah syarikat kimpalan di Jelawat Bachok.
Bapa kepada seorang anak perempuan berusia sepuluh tahun itu mengakui wang yang diperoleh tidak berkat namun dia tidak mempedulikannya kerana dapat memenuhi semua kemahuannya.
"Saya bukan sahaja lupa diri dan gagal menjalankan kewajipan sebagai seorang Islam malah tidak pernah serik walaupun beberapa kali dipenjara dan dikenakan denda," katanya.
Jie memberitahu, hidupnya berubah selepas ditangkap pada 21 Mei lalu oleh sepasukan polis yang menyerbu rumahnya dan menemui sebotol kecil dadah jenis heroin.
"Saya juga tidak menyangka serbuan polis pada jam 12 tengah hari itu mengubah hidup menjadi lebih baik dan tidak lagi meninggalkan solat selain mengaji al-Quran," katanya.
Jie juga benar-benar insaf selepas lebih lapan bulan tidak bertemu anak yang sangat dirindui di bawah jagaan ibunya di Melaka.
"Saya sangat sedih apabila ibu memaklumkan satu-satunya anak saya sentiasa bertanya khabar dan tidak dapat berhari raya bersama," katanya.
'Cukuplah tinggal di sini'
Dalam pada itu, seramai 14 prospek Pusat Pemulihan Akhlak Machang tersentuh mendengar ucapan Mohd Nasir yang memberi semangat kepada mereka untuk tidak lagi menjadi penghuni di situ.
Kesemua mereka yang berusia di antara 24 hingga 50 tahun itu terpilih menyertai Program Pelepasan OBB Sempena Hari Kebangsaan 2024 Ihsan Madani 'Kepulangan Yang Dinanti' di PPA Machang pada Khamis.
Antara nasihat Mohd Nasir ialah tidak meninggalkan solat dan menjaga hubungan dengan ibu bapa sepanjang bekerja dan hidup di luar penjara dalam tempoh program berkenaan.
"Cukup-cukuplah kita tinggal di sini (pusat pemulihan).
"Jadilah insan yang membahagiakan ibu bapa. Jangan tinggal solat yang menjadi tiang dapat mencegah kita daripada mendekati dadah," katanya.
Beliau juga mahu prospek berkenaan menjadi contoh terbaik kepada rakan-rakan selain merujuk pegawai parol jika berlaku masalah sepanjang program itu.
Sementara itu, seorang majikan, Mohd Zolhafizan Mohd Zawawi yang mengusahakan sebuah syarikat kimpalan mengakui program itu banyak membantu syarikatnya untuk lebih maju.
Mohd Zolhafizan mula bekerjasama dengan Pusat Pemulihan Akhlak Machang sejak Mac lalu dan sudah menerima 15 pelatih dari pusat berkenaan.
"Hasil didikan di pusat ini, kesemua mereka sangat menjaga disiplin dan menunjukkan minat untuk belajar," katanya selepas menerima sijil penghargaan sempena program itu.
Jelas beliau, syarikatnya yang menerima dua pekerja untuk sesi kali ini juga boleh berkompromi jika prospek mengalami masalah kesihatan dengan memberikan tugasan ringan.
"Kita juga mengambil pendekatan menerapkan nilai agama dengan mewajibkan mereka menghadiri solat jemaah setiap malam di masjid selain memberi motivasi sebagai galakan hidup dalam masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!