[VIDEO] Lelaki Rohingya didakwa bunuh isteri, dua anak

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki etnik Rohingya dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dakwaan membunuh isteri dan dua anaknya serta kesalahan dadah pada minggu lalu.

Pertuduhan dibacakan terhadap Abdu Gapur Doli Ahmad, 43, di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor dan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah namun, tiada pengakuan direkodkan kerana di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Di hadapan Majistret Siti Norhidayah, dia didakwa membunuh Nor Begam Md Yasin, 34, di belakang sebuah bangunan kosong, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar antara jam 11.30 malam, 18 Ogos hingga jam 12.30 tengah, 19 Ogos.

Tertuduh turut didakwa membunuh anak bongsunya, Abdul Hakim yang berusia satu tahun 11 bulan di hadapan sebuah premis di Lorong Tunku Muhammad, Jalan Pegawai, Alor Setar pada jam lebih kurang 12.45 pagi pada 19 Ogos.

Abdu Gapur (tengah) diiringi anggota polis di pekarangan Mahkamah Majistret Alor Setar pada Khamis.
Abdu Gapur (tengah) diiringi anggota polis di pekarangan Mahkamah Majistret Alor Setar pada Khamis.

Sementara itu, di hadapan Majistret, Nur Syifa pula, Abdu Gapur didakwa membunuh anak sulungnya, Lianaata, 10, di lokasi dan tempoh masa sama seperti ibunya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 sebatan.

Abdu Gapur juga berdepan satu pertuduhan dadah dan mengaku bersalah memasukkan dadah jenis amphetamine, nethamphetamine dan morfin selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, pada pukul 1.50 pagi, 20 Ogos.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha dan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor M Kaneson, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh bagi kesalahan dadah kerana dia disabitkan bagi kes di bawah Seksyen 302, selain disebabkan faktor warga asing.

Kedua-dua majistret juga menetapkan 26 November bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan forensik termasuk laporan patologi bagi hukuman untuk kesalahan dadah.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes pembunuhan isteri dan anaknya.

Lelaki itu ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, selepas disyaki membunuh isteri dan dua anaknya berikutan kesan kelar di leher mangsa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!