1,050 km paip lama di Kelantan perlu segera diganti
BACHOK - Kerajaan Kelantan melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengesan paip lama, bocor dan rosak yang perlu diganti segera sepanjang 1,050 kilometer (km) dengan kos lebih RM1 bilion.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembaikan segera bagi menggantikan paip berusia lebih 30 tahun itu perlu dilakukan bagi memastikan rakyat di negeri ini menerima bekalan air bersih secukupnya.
“Keseluruhan jumlah paip di negeri ini ialah sepanjang 8,000km, namun 4,000km paip lama tersebut mengalami kerosakan menyebabkan jumlah air tidak berhasil (NRW) tinggi atau hilang serta tidak sampai kepada pengguna sebanyak lebih 50 peratus.
“Daripada jumlah 4,000km paip tersebut, 1,050km paip perlu disegerakan kerana rosak teruk dan sudah tidak mampu menampung tekanan air yang disalurkan dari loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Merasmikan LRA Jelawat di sini pada Selasa.
Menurut beliau, kerja-kerja penggantian paip lama itu bermula tahun 2022 melibatkan daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah.
Katanya, setakat ini, menerusi Program Penukaran Paip Uzur dan Lama kepada yang baharu sepanjang 231km dilakukan melalui pembiayaan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) berjumlah
RM 218 juta.
“Selainnya, Program Pengurangan NRW juga dilakukan dengan penukaran dan penggantian meter, pembaikan tangki serta penyediaan Sistem Maklumat Geografi melalui peruntukan geran bernilai RM44 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga Transformasi Air.
“Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus komited dalam menyelesaikan isu-isu bekalan air kepada rakyat, bagaimanapun rakyat juga perlu tahu kerja-kerja yang dilakukan ini memerlukan masa agak lama misalnya 100km paip rosak perlukan masa dua tahun untuk digantikan baharu selian menelan belanja tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Fadzli memberitahu, pihaknya juga meluluskan peruntukan berjumlah RM 5.9 juta bagi pembinaan LRA Jelawat dengan kapasiti empat juta liter sehari (JLH).
“LRA Jelawat ini akan dapat membekalkan air terawat kepada 1,500 akaun pengguna termasuk di Gunong, Pekan Jelawat dan Bandar Baharu Jelawat.
“Selainnya, projek baharu pembinaan LRA Tok Bali berkapasiti 50 JLH dengan kos anggaran RM250 juta di bawah pembiayaan PAAB yang dijangka siap pada tahun 2027 juga akan membekalkan air kepada sebahagian penduduk di Bachok sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air di daerah itu,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!