Sindiket diesel Sibu: SPRM beku akaun bank RM36 juta

Sebanyak RM36 juta wang dalam akaun bank milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa dibeku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi. Gambar hiasan
Sebanyak RM36 juta wang dalam akaun bank milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa dibeku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM36 juta wang dalam akaun bank milik pengusaha stesen minyak dan dua pegawai penguat kuasa dibeku Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penyeludupan diesel bersubsidi.

Tindakan itu diambil susulan Op Liter yang dilaksanakan SPRM membabitkan sindiket menyeleweng diesel milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak pada Ahad lalu.

Menurut sumber, setakat jam 5 petang Rabu, sebanyak RM36 juta wang yang berada dalam akaun bank sudah dibekukan.

“Ia susulan penahanan dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak, pembantu penguat kuasa dan pengarah sebuah agensi penguakuasaan.

“Setakat ini tiada penahanan baharu dan tiada rampasan lain dilakukan,” katanya pada Khamis.

Sumber berkata, dua beradik terbabit yang direman empat hari sebelum ini dibebaskan dengan jaminan pada Khamis selepas tempoh remannya tamat.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Pada Selasa, pengarah agensi penguatkuasaan di Kuching, Sarawak ditahan dipercayai menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Artikel Berkaitan:

Suspek lelaki yang berusia lingkungan 40-an ditahan di Pejabat SPRM Sarawak pada jam 6.20 petang.

Sebelum itu, menerusi Op Liter, SPRM dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sarawak dan menyita 1.6 juta liter diesel dan wang tunai RM3.7 juta.

Lima individu termasuk pengusaha stesen minyak turut ditahan membabitkan sindiket yang telah aktif sejak 2012.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!