Pelayan bar mengaku langgar 4 individu termasuk dua polis trafik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang pelayan bar sebuah hotel mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini pada Khamis atas satu pertuduhan melanggar empat penunggang motosikal termasuk dua anggota polis trafik lima bulan lalu.

Mohamad Syazwan Abdul Halim, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dihadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan keputusan kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa-mangsa yang terlibat pada 14 Oktober depan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta secara tidak cermat dan perhatian yang sepatutnya terhadap penunggang motosikal Sarjan Syafiqah Arinah Mohamed Anwar, 30, dan Koperal Mohd Hasrul Aswad Mohd Shukri, 34.

Dua lagi penunggang motosikal iaitu kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Wan Ariff Danial Wan Ahmad Sofian, 31, dan orang awam Nurul Syahiera Zaiful Azar, 31.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat, Jalan Pandan Indah Utama di sini, pada jam 9 pagi, 21 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes, bagi mendapatkan laporan perubatan semua mangsa,” katanya.

Sementara itu, peguam, Wan Nur Afifah Che Bakar mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung isteri yang juga seorang suri rumah dan adik ipar yang masih belajar.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!