Kuala Lumpur mampu jadi kota dunia menjelang 2025

Nor Hisham Ahmad Dahlan
Nor Hisham Ahmad Dahlan
A
A
A

SHAH ALAM - Kuala Lumpur disifatkan mampu menjadi bandar raya terbaik menjelang 2025 sekali gus mencipta masa depan sebagai kota dunia menerusi pelbagai usaha yang sedang giat dilaksanakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Kuala Lumpur mempunyai ciri-ciri sedia ada pada kota-kota lain di dunia dan tidak terkecuali menghadapi permasalahan sama seperti dihadapi kota lain.

Bagaimanapun menurutnya, Kuala Lumpur kini ke arah perubahan dalam memastikan setiap masalah dapat dikurangkan dengan pelbagai pendekatan yang dilaksanakan.

"Di mana-mana pun masalahnya sama. Kesesakan trafik, banjir kilat dan sebagainya. Untuk memastikan masalah selesai 100 peratus adalah perkara yang agak mustahil tetapi kita boleh kurangkan.

"Apabila masalah asas dapat dikurangkan, Kuala Lumpur boleh menjadi bandaraya terbaik yang 'vibrant', mempunyai ciri-ciri kemanusiaan, aktiviti ekonomi, alam sekitar dan perpaduan itu sendiri.

"Pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia 2020 itu sendiri membuktikan Kuala Lumpur telah dilihat sebagai bandar raya yang boleh dicontohi," katanya pada Wacana Siri 153 bertajuk Masa depan Kuala Lumpur sebagai Kota Dunia.

Menurutnya, penyediaan kemudahan perumahan yang benar-benar mampu milik kepada warga Kuala Lumpur adalah salah satu aspek yang menjadi fokus memastikan Kuala Lumpur layak menjadi sebagai bandar raya terbaik.

Katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merancang menjadikannya sebagai rumah harapan masa depan dengan penyediaan kediaman mampu milik berharga bawah RM150,000.

Artikel Berkaitan:

"Kajian akan dibuat tahun ini supaya harga boleh turun kepada RM150,000 ke bawah. Ini adalah cita-cita kita yang akan dinyatakan dalam perancangan pelan perancangan 2040.

"Ini bukannya mimpi tapi kita nak tunjuk kepada orang orang luar, termasuk pemaju bahawa kerajaan boleh buat rumah mampu milik bawah RM150,000 ke bawah bagi penduduk Kuala Lumpur," katanya.

Nor Hisham berkata, selain itu pelbagai inisiatif lain juga dilaksanakan melibatkan pelbagai aspek termasuk penyediaan rumah bandar untuk 350 belia yang bekerja di Kuala Lumpur, menaik taraf golongan penjaja sehingga menjadi produk pelancongan.

"Tamadun dan survival orang-orang yang ada di kota Kuala Lumpur mesti sama dengan pembangunan fizikal. Buat masa ini Kuala Lumpur memang melaksanakan pembangunan seimbang," katanya.

Menurutnya, dalam perlaksanaan pelbagai usaha, tidak dinafikan DBKL juga berdepan cabaran mentaliti warga kota yang sukar untuk berubah, namun pendekatan dibuat dengan tidak terus menjatuhkan hukum sebaliknya terus mendidik.

"Jadi, usaha ini tidak sepatutnya hanya diletakkan pada bahu DBKL tetapi juga dilakukan bersama pelbagai agensi secara total demi kesinambungan kebaikan.

"Kita (Kuala Lumpur) adalah lembah perpaduan (valey of unity) kerana jika tak ada perpaduan, kesannya bukan pada negara tapi pada dunia, "katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!