Pendidikan anti rasuah menerusi sukan, kesenian
GERIK - Pendekatan lebih kreatif dan inovatif melalui sukan dan kesenian akan diperkenalkan dalam pendidikan mengenai anti rasuah, kata Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Beliau berkata, usaha itu bagi memperbanyakkan platform dan mendekatkan lagi interaksi dengan masyarakat berhubung gejala rasuah.
Menurutnya, selari dengan perkembangan teknologi, pendidikan anti rasuah tidak semestinya dilakukan dengan fizikal dan bersemuka, sebaliknya boleh mendidik dari mana sahaja.
"Program pendidikan adalah untuk mengukuhkan silibus sedia ada dan sebagai nilai tambah pendidikan formal di sekolah, tetapi di luar sana, kita masih boleh mendidik melalui pelbagai cara, hanya perlu memanfaatkan teknologi.
"Mungkin dengan mewujudkan interaktif melalui permainan atas talian atau memberi pendidikan berteraskan rasuah dari sudut visual melalui penghasilan mural.
"Malah melalui tatakelola kesenian juga boleh diberi penekanan seperti menghasilkan puisi dan lagu berkaitan rasuah," katanya ketika ditemui dalam program Jelajah Antirasuah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik di sini pada Rabu.
Program disertai hampir 600 pelajar dan guru MRSM Gerik itu turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Unit Integriti Mara, Haznita Hashim.
Program usaha sama Mara dan Rasuah Busters itu meneruskan siri jelajah di Perak bermula di MRSM Pengkalan Hulu, MRSM Gerik dan MRSM Felda Trolak di Sungkai pada 27 hingga 29 Ogos ini.
Nurhayati berkata, teknologi pesat telah menjadikan gejala rasuah berevolusi, seiring dengan globalisasi dan mencapai perkembangan yang pelbagai.
Katanya, menerusi pengalaman mengadakan siri jelajah dan libat urus bersama pemegang taruh sejak 2021, didapati perkara yang perlu ditingkatkan adalah maklum balas orang ramai di pelbagai peringkat usia melihat bagaimana rasuah dan pencegahannya itu secara kritikal.
"Tahun depan masuk tahun kelima dan kita akan mulakan dengan sesuatu yang lebih besar dan hebat dari pelbagai segi.
"Sektor sukan dan kesenian contohnya, kita lihat ada literasi yang boleh dibangunkan dan disitulah nanti pendidikan perlu dikembangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!