Kes Ebit Lew: Mahkamah main video perbualan lelaki minta saksi tunjuk 'anggota badan'

Ebit Lew tiba di mahkamah untuk menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Tenom.
Ebit Lew tiba di mahkamah untuk menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Tenom.
A
A
A

TENOM - Video berdurasi satu minit 22 saat dimainkan di Mahkamah Majistret Tenom di sini, pada Selasa, menerusi perbicaraan melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Video tersebut dirakam berkisarkan perbualan pendek antara pengadu dengan seorang lelaki menerusi panggilan video di sebuah bilik di rumahnya, pada petang 10 Julai 2021.

Dalam perbicaraan melibatkan pengadu yang juga saksi pendakwaan kesembilan itu, peguam Datuk Ram Singh dalam sesi pemeriksaan balasnya memohon mahkamah untuk memainkan dan merekod perbualan dalam rakaman video tersebut.

Video tersebut merujuk kepada keterangan pengadu dalam pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya pada Mei lalu yang menerangkan ia adalah mengenai video yang sempat dirakamnya pada hari terakhir sebelum nombor telefon tersebut disekatnya.

Antara isi perbualan yang direkodkan mahkamah ialah suara seorang lelaki yang meminta pengadu menunjukkan bahagian badan iaitu kaki, payudara, badan dan muka.

Namun dalam perbualan itu, pengadu mengatakan dia malu dan sebelum itu sudah menghantar gambar swafotonya kepada lelaki tersebut.

Dalam rakaman perbualan itu juga, terdapat suara pengadu yang bertanyakan kepada lelaki tersebut sedang buat apa.

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas seterusnya, Ram meminta pengadu menjelaskan adakah dalam rakaman video tersebut menunjukkan sebahagian anggota badannya.

Artikel Berkaitan:

"Lengan saya (dilihat dalam rakaman video), tetapi tidak nampak dalam panggilan video.

"Gambar muka yang ada 'mask'. Sebelum dia buat panggilan video, dia ada minta gambar," katanya.

Namun, pengadu memberitahu mahkamah bahawa dia terus menyekat nombor telefon tersebut selepas panggilan video selama 47 saat itu ditamatkan.

Ram dalam pada itu mengandaikan perbualan pengadu bersama lelaki tersebut menunjukkan dia tidak dalam keadaan marah.

"Tidak marah, tapi saya tidak ikut permintaan dia dan sekat sebab tidak mahu terpedaya lagi," jelasnya.

Perbualan 44 minit, Ebit Lew minta buka baju

Sementara itu, pengadu memberitahu mahkamah antara perkara yang dibualkan dalam panggilan suara selama 44 minit adalah termasuk permintaan pendakwah tersebut yang menyuruhnya membuka pakaian.

Pengadu berkata demikian selepas Ram Singh memintanya menjelaskan baki 43 minit lagi mengenai perbualan tersebut.

Ram mengandaikan bahawa keterangan pengadu pada soalannya sebelum itu adalah penerangan yang mengambil masa beberapa saat sahaja berbanding perbualan panggilan suara itu selama 44 minit.

"Ya, sebab saya jelaskan secara ringkas. Saya tidak ingat semua ayat dia cakap selama 44 minit itu tetapi yang saya pasti dia minta layan kehendak seks," katanya.

Susulan keterangan tersebut, Ram mengandaikan bahawa pengadu tidak tahu apa yang dibualkan semasa baki 43 minit tersebut namun disangkal oleh pengadu menerusi penjelasannya.

"Dia memperdaya saya, dia memaksa suruh saya bagi tengok bahagian badan, tapi saya tidak ikut semua kehendak dia," katanya.

Ram kemudian meminta pengadu menjelaskan adakah selama 44 minit perbualan itu dia ada membuka pakaiannya.

"Tidak, dalam 44 minit juga dia menceritakan tentang ketidakpuasan hati dia terhadap isteri, sebab itu perbualan itu menjadi lama. Tentang fizikal, warna kulit," katanya.

Dalam perbicaraan itu, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.

Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!