Veteran polis tuntut elaun tetap RM500 sebulan

VPOL tuntut kerajaan memberi ESTK sebanyak RM500 kepada veteran polis yang berpencen atau tidak. Gambar hiasan
VPOL tuntut kerajaan memberi ESTK sebanyak RM500 kepada veteran polis yang berpencen atau tidak. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dituntut memberi Elaun Tetap Sara Kebajikan (ESTK) secara bulanan pada kadar RM500 sebulan kepada semua veteran polis yang berpencen atau tidak tanpa mengira tahun perkhidmatan mereka.

Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Datuk Hussin Awang Ngah berkata, tuntutan elaun berkenaan juga meliputi bekas Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada mereka kerana pernah berkhidmat menjaga keamanan negara.

Menurutnya, ETSK merupakan salah satu daripada tujuh permohonan utama yang dicadangkan oleh VPOL kepada kerajaan bagi tujuan memperkasa agenda kebajikan veteran polis sempena Belanjawan 2025.

“VPOL telah menghantar tujuh permohonan utama demi memperkasakan agenda kebajikan veteran polis secara amnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan akhbar VPOL
Kenyataan akhbar VPOL

“Permohonan kedua adalah mewujudkan Jabatan Hal Ehwal Veteran Polis di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan peruntukan tetap untuk menjaga kebajikan veteran polis.

“Seterusnya, pemberian geran pentadbiran dan aktiviti secara tetap dan sama rata kepada semua persatuan veteran dan bekas polis bagi membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) veteran polis menjalankan fungsinya dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Hussin turut memaklumkan, persatuan turut menuntut perkhidmatan perubatan percuma kepada semua veteran polis berpencen atau tidak tanpa mengira tahun perkhidmatan di semua hospital dan klinik kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, VPOL mencadangkan agar kerajaan menyediakan ‘laluan hijau’ bagi memberi keutamaan kepada veteran polis mendapatkan perkhidmatan perubatan dan temu janji susulan.

“Selain itu (cadangan lain permohonan), penganugerahan pingat kepada semua veteran polis secara automatik tanpa syarat agar mereka rasa dihargai atas jasa dan keringat yang telah mereka curahkan.

“VPOL juga mencadangkan kerajaan mewujudkan sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) iaitu Universiti Polis yang akan membantu pegawai polis sama ada sedang berkhidmat atau bergelar veteran termasuk keluarga mereka (suami, isteri, anak dan cucu) bagi menyambung pengajian,” ujarnya.

Hussin berkata, VPOL turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan sebuah hospital awam khas iaitu ‘Hospital Polis’ untuk memberi khidmat dan rawatan kesihatan secara percuma kepada keluarga polis dan veteran badan beruniform itu.

“VPOL berharap permohonan yang dihantar ini akan diteliti dan dipertimbangkan agar ia dapat diluluskan semasa sesi pembentangan Belanjawan 2025 sebagai menghargai jasa veteran polis secara keseluruhan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!