Simpan minyak masak tanpa permit, restoran diserbu

Penguat kuasa KPDN (kiri) memeriksa minyak masak 5kg yang ditemui di sebuah restoran di Medan Simpang, Taiping semalam. Foto ihsan KPDN
Penguat kuasa KPDN (kiri) memeriksa minyak masak 5kg yang ditemui di sebuah restoran di Medan Simpang, Taiping semalam. Foto ihsan KPDN
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 430 kilogram (kg) minyak masak kerana disyaki disimpan tanpa permit di sebuah restoran di Medan Simpang dekat Taiping semalam.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping pada jam 1 tengah hari itu merampas 86 botol minyak masak botol lima kg serta dokumen berkaitan.

"Nilai keseluruhan barang rampasan dianggarkan berjumlah RM 2,657.40. Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati restoran terbabit gagal mengemukakan lesen atau permit berkaitan barang kawalan minyak masak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kamaluddin berkata, minyak masak perlu mempunyai permit atau surat kebenaran bertulis dikeluarkan Pengawal Bekalan kepada syarikat, organisasi atau individu untuk membeli barang kawalan berjadual dalam jumlah tertentu daripada pemborong berlesen bagi kegunaan selain tujuan jualan semula. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!