Seminggu gotong-royong rai majlis persaraan pengetua
BESUT - Guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud bergotong-royong selama seminggu bagi mengadakan pelbagai aktiviti sempena majlis persaraan Pengetua Cemerlang, Nathrah Awang Teh.
Penyelaras program, Raja Nor Aizan Raja Mat berkata, persiapan majlis tersebut bermula sejak akhir Julai lalu melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
Menurutnya, majlis itu diadakan secara besar-besaran bagi mengingati jasa dan pengorbanan Nathrah dalam memberi nafas baharu terhadap sekolah tersebut meliputi aspek akademik dan kokurikulum.
"Cikgu Nathrah begitu dekat dengan hati seluruh warga SMKTM baik pelajar, guru mahupun kakitangan sekolah termasuk tukang kebun.
"Beliau seorang pengetua yang merendah diri, tidak lokek meraikan pelajar termasuk mengadakan majlis hari lahir, membawa tukang kebun menaiki keretanya dan banyak lagi sikap dan sifat murni ada pada dirinya yang kami tidak lupa," katanya.
Beliau ditemui Sinar Harian pada majlis kemuncak persaraan Nathrah yang merupakan penerima Anugerah Emas Amalan Terbaik Pengetua Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Emas sekolah berkenaan pada Khamis.
Hadir sama, Presiden Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Besut (KPPD), Abdullah Zawawi Yahya.
Menurut Raja Nor Aizan, acara sempena majlis persaraan tersebut dimulakan dengan mengacau enam kawah bubur asyura dan menyembelih tiga ekor lembu untuk memasak lima kawah gulai.
"Majlis persaraan ini turut melibatkan seramai 857 pelajar dan 98 guru. Kesemua bergotong-royong dengan ikhlas untuk meraikan pengetua tersayang.
"Kita juga mengumpulkan duit untuk menghadiahkan rantai dan cincin kepada beliau walaupun sejak awal lagi beliau menasihatkan supaya tidak mengadakan majlis yang gilang-gemilang ini.
Dalam pada itu, Raja Nor Aizan berkata, walaupun tempoh perkhidmatan Nathrah hanya selama dua tahun tujuh bulan di sekolah tersebut, banyak perubahan yang telah dilakukan.
"Terlalu banyak perubahan yang dilakukan dalam tempoh yang singkat itu, lebih 800 pokok ditanam di kawasan sekolah.
"Beliau juga berusaha membaik pulih penyaman udara, bilik komputer dan pagar sekolah," ujarnya.
Sementara itu, Natrah Awang Teh yang telah 36 tahun berkhidmat sebagai guru berkata, beliau amat terharu dengan usaha yang dilakukan oleh warga sekolah.
"Saya berharap supaya pihak sekolah dapat meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan.
"Sebenanrnya banyak pengalaman yang saya tidak dapat lupakan sepanjang berada di sekolah ini. Kita sama-sama dapat harungi kesukaran dan cabaran bersama, tidak pernah berbalah walau ada perbezaan pandangan.
"Harapan saya agar barisan guru disokong dengan TMESA dapat terus menyokong dan membantu sekolah ini untuk lebih kekalkan kecemerlangan dan terus kehadapan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!