Produk kosmetik timbang kilo bernilai lebih RM600,000 dirampas

Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan produk kosmetik yang dipercayai untuk dihantar kepada kilang-kilang pembungkusan sebelum diedarkan kepada pengguna.
Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan produk kosmetik yang dipercayai untuk dihantar kepada kilang-kilang pembungkusan sebelum diedarkan kepada pengguna.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis kosmetik timbang kilo bernilai RM568,177 di sebuah rumah terbiar yang dijadikan stor simpanan di Kampung Bunohan, di sini baru-baru ini.

Serbuan jam 3 petang itu turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an bagi membantu siasatan.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melakukan intipan selama dua minggu terhadap aktiviti penyeludupan kosmetik timbang kilo dari negara jiran itu.

Wan Jamal Abdul Salam (dua, kiri) menunjukkan sebahagian daripada kosmetik yang dirampas.
Wan Jamal Abdul Salam (dua, kiri) menunjukkan sebahagian daripada kosmetik yang dirampas.

"Modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk barangan tersebut melalui pangkalan haram yang tidak diwartakan menggunakan bot.

"Kemudian ia dipunggah ke stor (rumah terbiar) sebelum dihantar ke pusat pembungkusan. Rumah terbiar tersebut digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Penguatkuasaan JKDM Pengkalan Kubor di sini pada Khamis.

Menurut beliau, kosmetik tersebut dipercayai untuk dihantar kepada kilang-kilang pembungkusan sebelum diedarkan oleh pengasas kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

JKDM merampas pelbagai jenis kosmetik timbang kilo di sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan, Tumpat baru-baru ini.
JKDM merampas pelbagai jenis kosmetik timbang kilo di sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan, Tumpat baru-baru ini.



Ujarnya, jumlah anggaran nilai tangkapan barangan kosmetik pelbagai jenis yang diseludup adalah sebanyak RM568,177 dan anggaran cukai sebanyak RM56,817.70.

Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pemilik dagangan yang telah dirampas.

Antara produk kosmetik yang dirampas.
Antara produk kosmetik yang dirampas.

"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedar melindungi, menyimpan, menyembunyi atau mempunyai dalam milikan apa-apa barang-barang tak berkastam atau barang larangan.

"Barangan kosmetik diklasifikasikan sebagai barang larangan import bersyarat di bawah Butiran 9, Bahagian I, Jadual Kedua Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang pengimportannya memerlukan permit daripada Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Ringkasan berita:

  • Rampasan Kosmetik: JKDM merampas kosmetik timbang kilo bernilai RM568,177 di sebuah rumah terbiar di Kampung Bunohan, Tumpat.
  • Penahanan Suspek: Seorang lelaki tempatan berusia 20-an ditahan untuk membantu siasatan.
  • Modus Operandi: Barangan kosmetik diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram, disimpan di rumah terbiar sebelum dihantar ke pusat pembungkusan.
  • Kerjasama Pihak Berkuasa: Rampasan dilakukan bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) setelah dua minggu intipan.
  • Siasatan dan Undang-Undang: Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Kosmetik tergolong dalam barang larangan import bersyarat dan memerlukan permit dari KKM.
Dijana oleh AI

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!