'Tarian lucah, tak senonoh!'
BACHOK - Kerajaan Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap segelintir penggiat seni di negeri ini yang disifatkan sebagai melampaui batas apabila secara tidak senonoh menari dangdut dengan gaya ‘lucah’ di hadapan umum sekali gus mencemarkan tradisi keseniaan dikir barat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, perlakuan melanggar batasan sebagai individu beragama Islam itu merujuk kepada rakaman video lama yang disiar semula oleh pengendali Facebook Amran Fans dalam talian baru-baru ini.
Menurutnya, beliau tidak kisahkan status video itu sama ada lama atau baharu mahu pun siapa-siapa yang menyebarkannya, namun perkara yang sangat dikesalkan ialah tarian tersebut berlaku di sebuah daerah di negeri ini iaitu Bachok.
“Dalam video itu ada persembahan dikir barat, tetapi ada pula dua lelaki dan seorang perempuan bertudung, comel Masya-ALLAH, tetapi menari dengan sangat mencolok mata.
“Elemen-elemen lucah dalam cara tarian, kalau orang tengok, orang kata “ALLAH, rakyat Kelantan berperangai macam nikah?” Itu yang saya tak nak, perangai lucah, tidak bermaruah dan tidak senonoh," kata beliau ketika berucap sempena Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Jelawat, di sini, pada Khamis.
Justeru itu, beliau mengingatkan semua penggiat seni terutama pendikir barat supaya menjaga kemurniaan seni warisan tradisional tersebut daripada dicemari anasir-anasir negatif seterusnya membuka ruang kepada orang lain untuk mengambil kesempatan merosakkannya.
Mohamed Fadzli turut meminta pemimpin setempat supaya memantau aktiviti dan persembahan kesenian di tempat masing-masing bagi mengelak perkara sama berulang.
“Saya kasihan kepada kumpulan dikir barat, kemurnian budaya dikir barat sudah mula dicemar dan dinodai.
“Saya minta maaf bercakap sebegini kerana saya pun peminat dikir barat, jadi sama-samalah kita menjaga seni kebudayaan ini,” katanya.
Sebelum ini, video berdurasi 29 saat itu dimuat naik di Facebook Amran Fans pada Selasa dengan kapsyen ‘Bachok, USA’ menyebabkan Exco Kerajaan negeri Kelantan menuntut penjelasan berkaitan tujuan dan niat rakaman itu dimuat naik semula.
Pada Rabu, pengendali Facebook Amran Fans terbabit ‘memohon maaf’ secara terbuka kerana mengakui membuat satu kenyataan yang salah apabila mengatakan bahawa Bachok itu di USA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!