Malaysia #QuranHour perlu disokong, jadi budaya dalam masyarakat - MAIWP

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada Jumaat, 30 Ogos di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil: Ahmad Talmizi
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada Jumaat, 30 Ogos di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi. Gambar kecil: Ahmad Talmizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Malaysia #QuranHour perlu disokong, imarah dan dijadikan budaya dalam masyarakat Islam agar mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu terkandung dalam al-Quran menerusi pembacaan kitab suci itu.

Pengurus Bahagian Agihan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Talmizi Yahaya berkata, banyak aktiviti dan program telah dilaksanakan menjurus kepada fokus utama MAIWP untuk masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan.

Malah ujarnya, MAIWP bukan sekadar agensi menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan dalam meningkatkan taraf kehidupan sosial ekonomi mereka tetapi juga membentuk satu masyarakat dinamik, kembali kepada Islam dan mengamalkan Islam secara keseluruhannya.

Ujarnya, MAIWP juga sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk meningkatkan kesejahteraan umat Islam dalam masyarakat Islam dan cara pentadbiran serta perlaksanaannya mengikut Islam itu sendiri.

"Sehubungan itu, kita melihat program Malaysia #QuranHour ini adalah satu program yang cukup menarik kerana ia bukan sahaja boleh menarik semua peringkat usia termasuklah anak muda untuk kembali kepada Islam khususnya seperti mana disebut dalam al-Quran.

"Kita mahu dalam kehidupan kita pada hari ini kita dapat mengamalkan cara sebagaimana al-Quran sebutkan dan bagaimana kita hendak praktikkan dalam kehidupan namun, sudah tentu ada peringkat-peringkatnya.

"Kita perlu mulakannya dengan membaca, mengamalkan tadabbur dan sebagainya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena program Malaysia #QuranHour di pejabat MAIWP di ibu negara di sin,i pada Khamis.

Beliau mengulas lanjut berkata, program Malaysia #QuranHour adalah program cukup menarik untuk membentuk masyarakat dan memberikan satu kelainan kepada masyarakat untuk kembali kepada Islam secara syumul serta mendekatkan diri dengan al-Quran.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia #QuranHour ini satu perkara yang baik dan MAIWP bangga kerana dapat untuk bersama sama terlibat dalam melaksanakan program kali ini bertemakan “Jiwa Merdeka: Memaknai Rukun Negara”.

"Sebenarnya kalau kita teliti perkataan jiwa merdeka, dalam rukun negara semuanya ada di dalam al Quran, tinggal lagi bagaimana kita mahu terjemahkan perkara itu menepati konsep merdeka dan rukun negara.

"Semuanya itu sudah ada disebut di dalam al-Quran cuma tinggal lagi bagaimana kita hendak mencungkil ayat-ayat al-Quran itu dan bagaimana kita hendak tadabburkan al-Quran dalam kehidupan kita," ujarnya lagi.

Tambah Ahmad Talmizi, beliau yakin penganjuran Malaysia #QuranHour dapat mengukuhkan jiwa masyarakat ke arah bagaimana mereka dapat untuk menghayati dan menjiwai merdeka seterusnya mencapai cita cita rukun negara.

Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada Jumaat, 30 Ogos di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.

Ia mengetengahkan bacaan surah al-Jumu’ah dan surah al-Hujurat yang bertujuan memperkukuhkan perpaduan rakyat serta disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Antara wakil media terlibat ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!