Lelaki hampir terjatuh lubang benam peluk Islam

Haridath (tengah) melafazkan dua kalimah syahadah pada Isnin lalu. - Foto ihsan ABIM
Haridath (tengah) melafazkan dua kalimah syahadah pada Isnin lalu. - Foto ihsan ABIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berbangsa India nekad untuk memeluk Islam selepas terselamat daripada insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini 23 Ogos lalu.

Pengislaman saudara baru itu lelaki yang dikenali sebagai Haridath itu disahkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memilih nama baharunya Harizan.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin bagaimanapun, memohon agar semua pihak memberi ruang kepada saudara baru itu bertenang, menghormati privasi dan mendoakan kebaikan beliau.

Ahmad Fahmi
Ahmad Fahmi

“ABIM maklum akan berita dan maklumat yang tular dalam beberapa platform media sosial khususnya WhatsApp berkenaan pengislaman seorang saudara baru di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tragedi tanah jerlus di Masjid India.

“ABIM mengesahkan bahawa saudara baru tersebut memeluk Islam di bawah kelolaan IOA Masjid Negara pada hari Isnin lalu.

"ABIM mendoakan, semoga kita semua mendapat hidayah daripada ALLAH, serta istiqamah dalam mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, ABIM juga mendoakan agar operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India dipermudahkan, dan menzahirkan rasa simpati buat keluarga mangsa.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa kononnya seorang lelaki yang berada hampir dengan wanita warga India jatuh dan hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India telah memeluk Islam.

Menurut dakwaan tersebut, lelaki tersebut berada di belakang wanita berkenaan sebelum warga India itu jatuh.

Haridath berusia 48 tahun yang merupakan warganegara Malaysia kemudian mengunjungi pejabat ABIM untuk memeluk Islam.

Sehingga kini, mayat wanita yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, masih belum dijumpai biarpun sudah memasuki hari ketujuh misi pencarian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!