Selepas Gaza, Israel kini gempur Tebing Barat

Kempen pencerobohan itu dilancarkan ke atas kem pelarian Nur Shams yang menempatkan penduduk Palestin berhampiran bandar Tulkarem. Foto AFP
Kempen pencerobohan itu dilancarkan ke atas kem pelarian Nur Shams yang menempatkan penduduk Palestin berhampiran bandar Tulkarem. Foto AFP
A
A
A

RAMALLAH - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melancarkan operasi berskala besar di Tebing Barat selama dua hari berturut-turut bermula Rabu ketika perang genosid di Genting Gaza sudah berlarutan selama hampir 11 bulan dan tiada tanda akan reda dalam masa terdekat.

Serbuan ganas itu menyasarkan Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarem yang pernah digempur beberapa kali sebelum ini.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan lebih 10 kematian dilaporkan dan kanak-kanak turut menjadi korban kekejaman IDF selepas ia menggunakan alasan operasi tersebut kononnya untuk menggempur markas pejuang Hamas.

“Lebih 20 cedera dalam serbuan tersebut. IDF juga sengaja membedil ambulans di kawasan itu,” kata Ketua Persatuan Palang Merah di Tebing Barat, Younes al-Khatib.

Susulan keganasan yang semakin meningkat, jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bertindak mengecam operasi ketenteraan tersebut.

“Zon tempur berada hampir dengan empat buah hospital dan salah sebuah kompleks kesihatan telah dikepung. Situasi itu hampir sama dengan apa yang berlaku di Genting Gaza,” kata Stephane Dujarric.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dilaporkan turut memendekkan tempoh lawatan beliau di Arab Saudi dan bergegas pulang ke wilayah diduduki berkenaan untuk mengawasi perkembangan konflik itu.

Ketika ini, puak penentang telah melancarkan gerakan untuk mempertahankan Tebing Barat daripada serangan terbesar rejim Zionis dalam tempoh beberapa tahun.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan bersama, Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Islam di Gaza yang terdiri daripada Hamas dan Jihad Islam serta gerakan lain menggesa seluruh penduduk Palestin supaya menolak konfrontasi melampau IDF.

“Kempen pencerobohan ini adalah lanjutan daripada Perang Gaza dan cubaan jahat musuh untuk mengusir penduduk Palestin daripada tanah air mereka,” ujar jawatankuasa itu lagi sambil menambah mereka akan bersatu bagi menggagalkan rancangan tersebut. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!