Pan-gon tidak jujur, 'gila talak' - Hamidin

Hamidin, Kim Pan-gon
Hamidin, Kim Pan-gon
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuka cerita sebenar mengenai sebab bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon meletakkan jawatan pada Julai lalu.

Menurutnya, Pan-gon seolah-olah mempersiakan harapan penyokong Malaysia dan seolah-olah tidak bersikap jujur selepas memberikan alasan mahu meletakkan jawatan kerana urusan peribadi.

Sebaliknya, Hamidin berkata, Pan-gon sebenarnya telah berhubung dengan kelab Korea Selatan, Ulsan HD untuk membimbing pasukan tersebut walaupun kontraknya bersama Harimau Malaya berbaki setahun setengah.

Beliau juga mengakui kecewa dengan pemergian Pan-gon itu yang mahukan gaji lebih tinggi bersama Ulsan HD menyebabkan FAM dipersalahkan seolah-olah tidak berusaha untuk menghalang pemergian kelahiran Korea Selatan itu.

"Di sini FAM langsung tak bersalah kerana ketika berakhir perlawanan menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Pan-gon memang nyatakan mahu kekal sehingga habis kontrak.

"Namun, selepas dia pulang daripada bercuti dia seperti orang 'gila talak' minta dilepaskan daripada kontrak beberapa kali.

"Dia katakan kerana masalah keluarga, tetapi kita dapat tahu sebenarnya dia telah berunding dengan Ulsan HD.

Sebab itu, dia mahu letak jawatan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Pan-gon meletakkan jawatan secara serta-merta pada Julai lalu atas alasan peribadi sebelum beberapa hari selepas itu Ulsan HD mengumumkan dia sebagai pengendali baharu pasukan.

Hamidin berkata, beliau bukan sengaja mahu membuka cerita tersebut, namun terpaksa menerangkan hal sebenar selepas FAM menjadi mangsa dan Ultras yang mahu memboikot Pestabola Merdeka.

"Saya berharap dengan penjelasan ini memberikan gambaran sebenar dengan apa yang berlaku dan FAM sudah cuba memujuk Pan-gon.

"Kami juga tidak meminta pampasan walaupun kami boleh meminta nilai baki kontrak," katanya.

Park Hang-seo mohon jadi pengendali Harimau Malaya

Dalam pada itu, bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo memohon untuk menjadi pengendali Harimau Malaya selepas Kim Pan-gon meletakkan jawatan.

Park Hang-seo
Park Hang-seo

Hamidin berkata, Hang-seo antara individu yang menghubungi badan induk itu di samping beberapa nama besar lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tumpuan FAM ketika ini untuk memberikan peluang kepada pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengemudi pasukan.

"Saya mahu beri peluang kepada Pau Marti untuk mengemudi pasukan dan dalam masa sama saya juga sudah buat kerja rumah untuk menilai pengendali baharu.

"Tempoh sehingga Disember ini merupakan tempoh untuk Pau Marti menunjukkan kebolehannya dan kita akan menilai dengan sebaik mungkin," katanya.

Prestasi Pau Marti akan dinilai sepanjang enam bulan terakhir ini bermula saingan Pestabola Merdeka, Piala AFF dan perlawanan persahabatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!