Bos Telegram didakwa kasari anak sendiri pula
PARIS - Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi Telegram, Pavel Durov berdepan siasatan berhubung dakwaan melakukan tindakan kekerasan melampau ke atas salah seorang anaknya.
Kes tersebut dikemukakan oleh pejabat kebajikan kanak-kanak di Paris melibatkan anak lelakinya yang dilahirkan pada 2017 dan kini menetap dengan ibunya di Switzerland.
“Perbuatan itu dilakukan Durov di Perancis,” jelas sumber rapat kes tersebut pada Rabu.
Difahamkan, ibu kepada mangsa telah memfailkan aduan di Bern pada tahun lalu dan mendakwa bekas pasangannya itu melakukan kekerasan fizikal terhadap anak mereka.
“Pembukaan kertas siasatan di Perancis bertujuan untuk membolehkan langkah penyelarasan bersama pihak berkuasa Switzerland bagi menilai sama ada ia sudah disiasat atau tidak,” ujar pejabat pendakwa raya itu dalam satu kenyataan.
Durov, 39, dan wanita berusia 44 tahun itu dikatakan tidak pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang dilahirkan pada 2013, 2016 dan 2017.
“Durov didakwa mengasari anak bongsu mereka sebanyak lima kali antara 2021 dan 2022 di beberapa lokasi termasuk di Switzerland. Akibat daripada perbuatan itu, mangsa turut mengalami trauma dan kesukaran untuk tidur,” jelas kandungan aduan itu.
Nama bekas pasangannya dan ketiga-tiga anak mereka tidak dinyatakan menerusi aduan itu, namun beberapa butiran merujuk beberapa maklumat yang ada kaitan dengan Durov seperti tempat tinggal beliau di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa kes sivil berasingan.
Dalam perkembangan berkaitan, Paris telah mendakwa beliau dengan beberapa kes pelanggaran berkaitan aplikasi Telegram dan melarang Durov meninggalkan negara itu walaupun bilionair kelahiran Rusia tersebut dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah 5 juta euro (RM24 juta).
Peguamnya, David-Olivier Kaminski berkata, tuduhan bersekongkol dengan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram serta penyebaran pornografi kanak-kanak menerusi platform tersebut yang dikemukakan ke atas Durov sememangnya tidak masuk akal.
“Telegram mematuhi segala aspek peraturan Eropah mengenai teknologi digital,” tegasnya.
Taikun tekonologi tersebut mengasaskan aplikasi mesej yang mempunyai fungsi sama seperti WhatsApp dan sudah mempunyai lebih 900 juta pengguna itu ketika beliau merancang untuk meninggalkan Moscow sedekad lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!