Mayat bayi disimen: Polis rakam keterangan empat saksi

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Polis sudah merakam percakapan empat individu berhubung kes penemuan mayat bayi perempuan yang tertanam dalam simen di ruang tempat letak kenderaan sebuah rumah di Taman Sri Rokam di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mereka yang dipanggil memberi keterangan termasuklah lelaki yang menemui mayat dan pemilik rumah.

"Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan polis masih dalam tindakan untuk mengesan suspek terlibat," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, punca kematian bayi tersebut tidak dapat dipastikan kerana keadaan mayat yang mereput.

"Siasatan juga dilakukan bagi mengenal pasti sama ada bayi berkenaan meninggal dunia sebelum dilahirkan," katanya.

Polis sebelum ini memaklumkan sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah tinggal menyewa rumah berkenaan.

Berdasarkan keterangan pemilik rumah, wanita terbabit yang melarikan diri dari kediaman itu kira-kira sebulan lalu pernah dilihat dalam keadaan mengandung.

Mayat bayi perempuan dianggarkan berusia tujuh bulan itu ditemukan seorang lelaki berusia 37 tahun ketika sedang melakukan kerja baik pulih rumah yang hendak disewa sekitar jam 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!