Deposit permit hiburan di Kelantan bakal dinaikkan hingga RM20,000
BACHOK - Kerajaan Kelantan akan menaikkan deposit permit hiburan antara RM15,000 sehingga RM20,000 bagi penganjuran aktiviti hiburan melibatkan artis popular dan luar dari luar negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, cadangan itu dibuat bertujuan mengurangkan keghairahan penganjuran aktiviti hiburan selain memastikan mereka mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Memandangkan banyak aktiviti hiburan melibatkan artis luar, saya mengarahkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) menilai semula kadar deposit permit hiburan yang sebelum ini sekitar RM1,000 hingga RM5,000 sahaja.
“Kadar ini sudah tidak sesuai dan dicadang dinaikkan hingga RM20,000 kerana sudah tentu ramai penonton akan datang, bimbang berlaku luar kawalan, namun jumlah tepat itu nanti terpulang kepada budi bicara Yang Dipertua (YDP),” katanya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Jelawat di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk merampas deposit berkenaan jika pihak penganjur melanggar permit di bawah Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan 1998 serta juga Peraturan dan Garis Panduan Hiburan Kelantan 2023.
“Bergantung, kalau setakat dikir barat, tak ada artis luar, kadar permit serendah RM1,000, Kalau ada artis luar, contohnya kumpulan rock atau penghibur yang ada album, pastilah bayarannya mahal.
“Deposit tinggi ini diharap penganjur menjadi kurang ghairah mengadakan aktiviti hiburan selain mematuhi segala peraturan,” katanya.
Dalam pada itu, Hilmi memaklumkan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan yang baharu bagi mempercepatkan proses menyelia aktiviti hiburan akan dibentangkan pada sidang dewan undangan negeri dalam tempoh terdekat, antaranya bertujuan pertukaran kuasa pegawai pelesen daripada ketua jajahan kepada YDP di setiap PBT.
“Sekarang kuasa mengeluarkan permit di bawah ketua jajahan, manakala penguatkuasaan oleh PBT, tetapi sebab tak sempat bentang kerana perlu menyiapkan versi bahasa Inggeris, jadi diwartakan terlebih dulu dan sudah berkuat kuasa awal bulan ini.
“Bermula sekarang, semua permohonan hiburan perlu melalui PBT yang akan mengawal selia termasuklah mengeluarkan permit hiburan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!