Al-Quran jadi panduan pimpin syarikat, tingkat jati diri
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penyertaan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam program Malaysia #QuranHour bukan sahaja mengajak kakitangan memupuk semangat membaca al-Quran, tetapi menjadi panduan bagi memimpin organisasi tersebut.
Wakil penganjur berkata, dengan mengangkat surah al-Jumu'ah sebagai surah pilihan, ia dapat meningkatkan jati diri dan semangat kerjasama dalam mendepani pelbagai cabaran dunia perniagaan.
Menurutnya, pemahaman isi al-Quran mampu membentuk kesatuan antara pekerja dan majikan bagi memastikan operasi syarikat berjalan dengan baik dan telus.
“Ini pertama kali Petronas menyertai Program Malaysia #QuranHour dan kita tidak sangka ramai yang turut hadir bersama-sama membaca dan mendengar setiap makna surah al-Jumu'ah oleh pentadabbur.
“Tema surah al-Jumu'ah yang banyak menceritakan tentang makna kesatuan dalam organisasi sememangnya sangat sesuai kerana elemen integriti dan penyatuan itu sama dengan nilai yang diterapkan dalam Petronas.
“Kita akan memperbanyak lagi pemahaman al-Quran supaya dapat bersama-sama menambah baik kekuatan syarikat selain mengukuhkan jati diri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis bacaan surah al-Jumu'ah sempena Malaysia #QuranHour dengan tema ‘Al-Quran unites us continuing a legacy together for our future’ yang diadakan di Surau Al-Muhsinin T2 Menara Satu, Menara Berkembar Petronas (KLCC), di sini pada Khamis.
Bacaan itu dipimpin oleh qari dari Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Tirmizi Ali dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Dalam pada itu, menurut Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petronas, Ir Mohd Yusri Mohamed Yusof, pemilihan surah al-Jumu'ah sangat relevan dalam membentuk nilai kepercayaan, integriti dan kerjasama setiap staf.
Tambah beliau, dengan menghayati isi kandungan al-Quran, ia akan memberi pelbagai penyelesaian dalam mendepani cabaran domestik dan global.
“Semoga Malaysia #QuranHour ini menjadi satu permulaan baharu untuk kita menghayati jiwa merdeka menerusi pembacaan dan pemahaman selain amalan yang digunakan dalam semua aspek kehidupan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail berkata, al-Quran mendidik manusia untuk lebih amanah dan berdisiplin dalam melakukan pekerjaan.
Menurutnya, budaya integriti dan jujur dalam urus niaga bukan hanya memberi kejayaan di dunia, tetapi juga keberkatan di akhirat kelak.
“Saya berharap program ini akan menjadi pencetus kepada syarikat korporat untuk mengkaji lebih mendalam isi kandungan al-Quran dalam budaya kerja,” katanya.
Program Malaysia #QuranHour 2024 akan diadakan serentak di seluruh negara pada 30 Ogos ini di lokasi perdana, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya bermula jam 10 hingga 11 pagi.
Slot tersebut akan bersiaran secara langsung melibatkan wakil media antaranya ialah Sinar Harian, Astro Oasis, TV9, Bernama, TV Alhijrah, Zayan, Astro Awani, Nu Ideaktiv, IKIM FM, Denaihati.com dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar utama Malaysia #QuranHour.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!