Lelaki Bangladesh dalang sindiket palsu dokumen FOMEMA ditahan

JIM menahan empat lelaki Bangladesh dalam serbuan kedua di sebuah kediaman di Petaling Jaya, pada Rabu. (Gambar kecil: Ruslin)
JIM menahan empat lelaki Bangladesh dalam serbuan kedua di sebuah kediaman di Petaling Jaya, pada Rabu. (Gambar kecil: Ruslin)
A
A
A

PETALING JAYA - Warga Bangladesh yang menjadi dalang sindiket pemalsuan dokumen Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dengan bayaran RM500 tumpas dalam serbuan di sini, pada Rabu.

Operasi khas itu dijalankan sepasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bermula jam 9.05 pagi hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan pertama berjaya menahan lelaki Bangladesh berusia 23 tahun disyaki dalang utama sindiket.

Menurutnya, soal siasat kemudian membawa serbuan di sebuah kediaman dan menahan empat lagi lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sebagai pembantu kepada suspek utama.

Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen FOMEMA ditahan JIM di sekitar Petaling Jaya, pada Rabu.
Dalang utama sindiket pemalsuan dokumen FOMEMA ditahan JIM di sekitar Petaling Jaya, pada Rabu.

"Serbuan telah bertindak merampas 29 naskhah pasport yang disyaki palsu terdiri daripada 26 naskhah pasport Bangladesh, dua naskhah pasport Indonesia dan satu naskhah pasport Myanmar.

"Turut dirampas ialah komputer riba, pencetak dan resit pembayaran secara dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semakan awal mendapati dalang utama telah tinggal lebih masa, manakala suspek lain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Kata Ruslin, modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan kepada warga asing yang tidak memiliki pasport untuk mendapatkan dokumen FOMEMA.

Jelasnya, sindiket akan menggunakan khidmat pembantu dengan bayaran RM100 untuk setiap pasport dan akan hadir ke Klinik Panel FOMEMA bagi memohon dengan menggunakan maklumat di pasport yang disyaki palsu.

JIM merampas beberapa barang berkait pemalsuan dokumen FOMEMA dalam serbuan di sebuah kediaman di Petaling Jaya, pada Rabu.
JIM merampas beberapa barang berkait pemalsuan dokumen FOMEMA dalam serbuan di sebuah kediaman di Petaling Jaya, pada Rabu.

"Kesemua pembantu sindiket telah hadir sebanyak 19 kali di Klinik Panel FOMEMA yang berlainan dan ditentukan oleh dalang utama," ujarnya

Tambahnya, sindiket yang telah aktif sejak empat bulan ini menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mempromosikan perkhidmatan dengan kadar bayaran sebanyak RM500.

"Setiap perkhidmatan dan penghantaran akan dilakukan menggunakan perkhidmatan kurier atau serahan tangan," katanya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!