Tragedi tanah jerlus: Elak lalui kawasan larangan
KUALA LUMPUR - Orang ramai sekali lagi diingatkan agar menjauhi lokasi insiden tanah jerlus Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, larangan itu susulan kerja-kerja di dua lokasi iaitu tanah jerlus dan mendapan yang sedang dijalankan setakat ini.
"Polis mengambil langkah menutup laluan sepanjang Jalan Masjid India bermula dari lokasi kejadian sehingga ke Semua House, bagaimanapun dilihat masih ramai yang tidak mengikuti arahan ini.
"Penutupan ini dijalankan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya menerusi sidang akhbar di Jalan Masjid India pada Khamis.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak memasuki laluan yang diletakkan pita keselamatan.
"Patuhi nasihat anggota polis, jangan sewenangnya melalui kawasan yang tidak dibenarkan.
"Elakkan mendekati lokasi berkenaan terutamanya lokasi pasukan penyelamat sedang menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) ketika ini," katanya.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Dalam pada itu, satu lagi insiden tanah mendap dikesan kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!