Pemuda Pas lapor polis hantaran persenda pakaian wanita Muslim
KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial Facebook yang didakwa mempersendakan pakaian yang menjadi syariat wanita Muslim.
Ketua Penerangannya, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira jam 2.30 petang pada Khamis.
Menurutnya, laporan tersebut dibuat bagi menggesa tindakan diambil terhadap pemilik akaun menggunakan nama ‘Ryan Azzaro’ yang memuat naik gambar memaparkan seorang wanita mengenakan burqa berwarna hitam melakukan aksi terjun papan anjal berserta keterangan 'Welcome to Afganu'.
Jelas beliau, hantaran tersebut dipercayai mengandungi imej yang dijana menggunakan teknologi AI yang bertujuan memperlekehkan simbol agama Islam dan dasar kerajaan Terengganu yang tegas dalam mempertahankan pematuhan syariat khususnya berkaitan aurat dalam sukan.
"Status yang dimuat naik itu secara jelas telah melanggar prinsip 3R (raja, agama, kaum) kerana menyentuh isu agama dengan menghina simbol keagamaan yang dipakai wanita Islam.
"Ia secara tidak langsung telah mengganggu keharmonian antara kaum dan agama di negara ini serta boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat Islam yang merasakan agama mereka telah dihina secara terbuka," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya menggesa tindakan sewajarnya diambil terhadap individu tersebut.
"Langkah kerajaan negeri menyekat atlet Muslim daripada menyertai acara sukan terjun adalah sebahagian usaha untuk memastikan pematuhan kepada syariat Islam.
"Tindakan individu tersebut bukan sahaja mencabar keputusan kerajaan negeri namun turut menyentuh sensitiviti agama yang bertentangan dengan kempen 3R yang ditekankan Kerajaan Persekutuan.
"Saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan terperinci ke atas pemilik akaun Facebook tersebut agar tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 4 (1) (c) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dapat diambil, " katanya.
Selain itu, tambah beliau, kandungan hantaran tersebut perlu dihapuskan dan pihak berkuasa perlu meningkatkan pemantauan ke atas media sosial bagi mencegah tindakan yang mengancam keharmonian dalam masyarakat.
Rabu lalu, tular di media sosial sebuah hantaran memaparkan wanita mengenakan burqa iaitu pakaian berwarna hitam yang menutup seluruh badan sedang membuat aksi terjunan.
Hantaran itu dipercayai mengaitkan kontroversi penyertaan dua penerjun wanita Muslim yang mewakili Terengganu pada acara Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang tidak mendapat kebenaran Kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!