Kilang Boeing di Kedah kini dikenali Boeing Composites Malaysia

Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt, (empat kiri) selepas Majlis Pelancaran Boeing Composites Malaysia di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam pada Khamis. Foto FB MITI
Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burtt, (empat kiri) selepas Majlis Pelancaran Boeing Composites Malaysia di Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam pada Khamis. Foto FB MITI
A
A
A

[DIKEMAS KINI] PEMBUAT kapal terbang dari Amerika Syarikat, Boeing, menamakan semula kemudahan pembuatan yang terletak di Bukit Kayu Hitam, Kedah sebagai Boeing Composites Malaysia.

Presiden Boeing Asia Tenggara, Penny Burt berkata, kemudahan canggih dan kumpulan tenaga kerja di Kedah berperanan penting dalam industri aeroangkasa Malaysia yang semakin berkembang maju.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan mengiktiraf prestasi keselamatan dan kualiti yang cemerlang di Boeing Composites Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, Malaysia memerlukan kepantasan dan skala untuk mempercepat amalan pembuatan dan membangunkan industri aeroangkasa negara secara proaktif.

"MITI, melalui MIDA dan National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia, komited untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan industri pesat, khususnya dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa.

"Saya yakin Boeing telah mengenal pasti Malaysia sebagai lebih daripada mampu untuk menyokong keperluan sofistikated bagi menghasilkan komponen berkualiti untuk pelanggan global mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyatakan kegembiraan dan kebanggaan apabila melihat Malaysia berjaya menyumbang kepada operasi global Boeing.

"Inilah bukti jelas mengenai tenaga kerja mahir kita dan kedudukan strategik Malaysia dalam industri aeroangkasa. MIDA komited sepenuhnya untuk menyokong kejayaan berterusan Boeing Composites Malaysia dalam rantaian bekalan aeroangkasa global,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Boeing telah membeli sepenuhnya Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd, sebuah usaha sama dengan syarikat bahan industri awam Hexcel Corporation, pada Disember 2023.

Kemudahan itu menyediakan produk komposit dan subpemasangan untuk semua model pesawat komersial Boeing termasuk 737 MAX dan 787 Dreamliner, dan merupakan kemudahan pembuatan milik penuh Boeing yang pertama di Asia Tenggara.

Boeing menggaji kira-kira 1,000 orang yang semuanya merupakan rakyat Malaysia untuk bekerja di kemudahan itu.

Menurut Boeing sebagai sebahagian inisiatif dalam mengiktiraf kemampuan Malaysia yang semakin berkembang dalam sektor itu, mereka juga mengumumkan pemberian geran pendidikan tinggi bernilai RM44,000 kepada Institut Kemahiran Belia Negara di Jitra, Kedah.

Pemberian geran itu bertujuan untuk melatih 30 penuntut dalam teknologi mesin dan fabrikasi di samping membimbing mereka ke arah peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!