Pos Malaysia hantar pulang barangan Allahyarham Nur Farah Kartini

Noorzuriha (lima dari kiri) menerima barangan milik Allahyarham Nur Farah Kartini daripada Md Amin di Bangunan Canselori untuk diuruskan penghantaran pulang ke Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak. Foto U[SI
Noorzuriha (lima dari kiri) menerima barangan milik Allahyarham Nur Farah Kartini daripada Md Amin di Bangunan Canselori untuk diuruskan penghantaran pulang ke Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak. Foto U[SI
A
A
A

TANJUNG MALIM - Selepas lebih sebulan, semua barangan milik pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemui mati dipercayai dibunuh dihantar pulang ke kediaman keluarganya di Sarawak.

Proses penghantaran pulang dilaksanakan Pos Malaysia menerusi misi kemanusian pada Khamis.

Pengurus Besar Pos Malaysia Perak, Noorzuriha Haron Noh Rashid berkata, proses membawa pulang barangan Allahyarham digerakkan terus ke Shah Alam dan dijangka tiba di kediaman ibu mangsa di Kampung Lereng Bukit, Miri pada pagi Selasa.

"Kami bersimpati dengan nasib yang menimpa Allahyarham dan keluarganya. Ini adalah sumbangan kemanusiaan Pos Malaysia buat keluarga Allahyarham," katanya dalam kenyataan di sini.

Satu majlis ringkas penyerahan barangan Allahyarham berupa pakaian, beg, buku dan pelbagai barangan peribadi dilakukan di Bangunan Canselori Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI pada Khamis.

Hadir sama, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Profesor Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menyifatkan keprihatinan Pos Malaysia sebagai satu rahmat dan mencerminkan nilai kasih sayang rakyat Malaysia.

"Pemergian Allahyarham Nur Farah Kartini mengundang simpati dan kasih sayang pelbagai pihak seluruh negara sehinggalah jenazahnya dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang untuk dikebumikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, UPSI sendiri menanamkan nilai kasih sayang dan mementingkan kebajikan pelajar dan kakitangan tanpa mengira pangkat untuk dibantu sekiranya ditimpa musibah.

"Kami mempunyai RESQ Team, pasukan sukarelawan terdiri daripada pelajar dan kakitangan yang sentiasa prihatin bersedia dan membantu mangsa pasca banjir tanpa mengira lokasi," katanya.

Minggu lalu, Md Amin ketika menghadiri Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak turut meluangkan masa menziarahi ibu dan keluarga Allahyarham di kampungnya.

"Saya sendiri sukar menahan sebak sewaktu bertemu ibu Allahyarham yang dilihat tenang dan reda dengan pemergian Allahyarham," katanya.

Allahyarham Nur Farah Kartini, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian UPSI dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Tanjung Malim.

Pada 15 Julai lalu, negara digemparkan dengan penemuan mayat Nur Farah Kartini di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor selepas lima hari dilaporkan hilang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!