Jutawan batal hasrat cari teman wanita untuk ke bulan
JEPUN – Seorang bilionair membatalkan hasratnya untuk mencari teman wanita bagi menemaninya menjelajah ruang angkasa selepas lebih 27,000 wanita mencuba nasib.
Sebelum ini, lelaki ke-22 terkaya di Jepun itu, Yusaku Maezawa, 44, mencari seorang wanita untuk menemaninya ke bulan sebagai penumpang pertama SpaceX Elon Musk, lapor Mirror.co.uk menurut sumber.
Pencarian itu dilakukan untuk sebuah rancangan dalam Abema TV, namun jutawan itu membatalkan misi tersebut atas alasan peribadi dan memberi penjelasan melalui laman Twitter.
“Atas sebab peribadi saya memaklumkan Abema TV, Sabtu lalu mengenai keputusan saya untuk tidak terlibat dengan dokumentari mencari jodoh itu. Oleh itu, saya meminta rancangan itu dibatalkan.
“Saya tahu keputusan yang dianggap mementingkan diri ini mengecewakan ramai orang terutama wanita dan semua kakitangan Abema TV. Saya mohon maaf dan menyesal di atas keputusan ini,” tulisnya.
Maezawa yang merupakan pengasas fesyen dalam talian, Zozotown amat dikenali kerana sering menawarkan wang tunai kepada orang ramai di Twitternya.
“Saya akan memberikan 1 juta yen (RM37,788) kepada 1,000 pengikut Twitter yang mengulang hantaran saya sejak awal tahun ini, namun pemenang perlu melakukan tindakan susulan tentang bagaimana duit tersebut mampu memberi perubahan terhadap diri mereka,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bilionair Jepun cari teman hidup melancong ke bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!