Tarik anak muda dalami ilmu, agama melalui video pendek

GENERASI kini lebih suka melihat video-video pendek termasuk dakwah di pelbagai platform media sosial dan aplikasi sedia ada. Foto CANVA
GENERASI kini lebih suka melihat video-video pendek termasuk dakwah di pelbagai platform media sosial dan aplikasi sedia ada. Foto CANVA
A
A
A

ERA serba canggih sekarang ini, boleh dikatakan semua maklumat berada di hujung jari, malah apa sahaja persoalan yang keluar di minda, jawapannya boleh dicari di dalam internet.

Betapa mudahnya kehidupan di zaman sekarang berbanding suatu ketika dahulu tanpa akses kepada internet, malahan siaran televisyen juga begitu terhad.

Kini, petik sahaja jari, kandungan apa yang mahu ditonton ada di hadapan mata, boleh dicari dengan pantas melalui pelbagai platform termasuk aplikasi dan media sosial.

"Begitulah juga dengan kandungan-kandungan ilmiah, ajaran agama dan dakwah. Ia sudah ada di dalam internet, namun persoalannya, apakah persembahannya sampai kepada sasaran? Apakah ia berkesan untuk mengetuk hati-hati umat Islam terutamanya golongan muda dan remaja?"

Itulah persoalan yang disampaikan Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim.

Tradisi ilmu berbeza kini

Menurut beliau, dalam bab tradisi ilmu, keadaan sekarang sudah berbeza berbanding zamannya ketika belajar dahulu.

Artikel Berkaitan:

PROF MADYA DR MOHD IZHAR ARIFF
PROF MADYA DR MOHD IZHAR ARIFF

“Ketika saya belajar dengan Professor Dr Wahbah Az-Zuhaili tentang tafsir beliau iaitu Tafsir al-Munir dan tafsir-tafsir lain, beliau membawa kitab dan anak-anak murid juga membawanya.

“Zaman sekarang, guru bawa kitab manakala anak-anak murid ibarat sehelai sepinggang sahaja. Persoalannya, bagaimana kita nak sampaikan ilmu kepada masyarakat sedangkan kita tiada ilmu?” soalnya pada forum bertajuk Mengukuhkan tradisi ilmu dan dakwah dalam era digital.

Forum tersebut diadakan sempena Majlis Pra-Pelancaran Aplikasi Madkhal di Shah Alam, baru-baru ini yang turut dihadiri Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun dan Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir sebagai penasihat Madkhal.

Tambah Dr Mohd Izhar Ariff, firman ALLAH SWT mengenai ayat pertama surah al-‘Alaq: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan” jelas menunjukkan kepentingan membaca untuk mendapatkan ilmu.

“Walaupun pada ketika itu Nabi Muhammad SAW tidak pandai membaca, diperintahkan juga untuk Baginda membaca.

“Ini menunjukkan kepada kita bahawa membaca itu sangat penting pada hari ini sehingga kiamat datang. Membaca membuka pintu segala ilmu,” hurainya.

Jelasnya lagi, ada satu kajian yang dibuat oleh Universiti Malaya yang membandingkan perbezaan orang Malaysia dengan rakyat Jepun.

“Di Jepun, 90 peratus rakyat mereka membaca berbanding dengan masyarakat kita di Malaysia yang hanya membaca dalam kadar 20 peratus daripada jumlah populasi.

“Bagaimana hendak menguasai ilmu sekiranya tidak membaca? Sekarang ini dengan dunia digital, pendakwah perlu lebih kreatif menerbitkan pelbagai kandungan dakwah terutamanya melalui video pendek yang disebarkan melalui platform sedia ada sekarang termasuk media sosial.

“Dengan adanya kandungan dakwah kreatif seperti itu, ia akan menarik minat orang muda untuk mendekati ajaran agama dan mengamalkannya,” hurainya.

Katanya, jika hari ini, kandungan-kandungan hiburan dan lagha (melalaikan) lebih banyak disukai dan ditonton orang ramai dan para pendakwah tidak boleh berputus asa serta perlu lebih kreatif untuk menarik minat masyarakat kepada agama.

Cabaran pendakwah masa kini

Menurut Dr Mohd Izhar Ariff, kandungan dakwah yang menarik dan kreatif perlu diperbanyakkan dan diperhebatkan lagi selepas melihat pelbagai persepsi masyarakat terutamanya anak-anak muda sekarang.

PENDAKWAH perlu lebih kreatif dalam menghasilkan kandungan video dakwah agar matlamatnya sampai kepada sasaran. Foto CANVA
PENDAKWAH perlu lebih kreatif dalam menghasilkan kandungan video dakwah agar matlamatnya sampai kepada sasaran. Foto CANVA

“Dakwah hari ini tidak seperti zaman dahulu kerana anak-anak muda pada waktu itu tertutup dengan anasir luar, pemikiran barat dan idealogi baharu.

“Sekarang ini era terbuka, pelbagai gelagat dan perangai ditunjukkan anak-anak muda sekarang. Ada yang sudah tidak malu membuka aib sendiri dengan menyatakan telah berzina.

“Ada yang sudah berani mengaku sebagai golongan gay dan lesbian,” jelasnya yang sedih dengan keadaan tersebut.

Menurutnya, walaupun sudah diberi peringatan mengenai hukum dan larangan, golongan ini berani melawan sehingga mufti-mufti turut ditolak pandangannya.

MUFTI Terengganu, Dr Mohamad Sabri (dua dari kanan) dan Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir (dua dari kiri) turut hadir pada forum tersebut.
MUFTI Terengganu, Dr Mohamad Sabri (dua dari kanan) dan Mufti Selangor, Prof Madya Datuk Dr Anhar Opir (dua dari kiri) turut hadir pada forum tersebut.

Jelasnya, apa yang perlu pendakwah lakukan untuk berhadapan dengan golongan seperti ini adalah:

1 – Perkukuhkan diri dengan ALLAH SWT.

Para pendakwah perlu menjaga hubungan dengan ALLAH sebaik mungkin. Beramal sebaik mungkin ilmu yang dipelajari sebelum mengajarkan kepada orang lain.

2 – Pertingkatkan ilmu dengan banyak membaca.

Pendakwah perlu peruntukkan waktu untuk membaca setiap hari dan amalkan apa yang dibaca tersebut.

3 – Jangan malu untuk bertanya dan jangan sombong.

Pendakwah tidak perlu malu untuk bertanya mengenai apa yang dia tidak tahu agar penyampaian lebih berkesan.

4 – Jaga hubungan dengan manusia lain.

Jangan merasa diri pandai dan hormati kepakaran dan bidang yang dikuasai orang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!