Peragut tumpas di tangan mangsa

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SELAYANG - Seorang mangsa ragut nekad mengejar penunggang motosikal yang meragut rantai emas dipakainya ketika sedang membeli buah di gerai berhadapan sebuah pasar raya di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, difahamkan suspek yang menunggang motosikal meragut rantai leher dipakai lelaki berusia 33 tahun itu sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisiner Arifai Tarawe berkata, mangsa kemudian bertindak memandu keretanya mengejar mangsa.

"Sewaktu mengejar suspek, kereta dipandu mangsa telah melanggar belakang lori di tepi jalan. Dalam masa sama suspek juga terbabas dan jatuh dari motosikalnya.

"Mangsa kemudian bertindak menangkap suspek dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum menyerahkannya kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek menemukan satu peket plastik disyaki pil eramin dalam genggaman tangannya.

"Suspek juga mempunyai rekod lampau melibatkan dua kes dadah dan tujuh kes jenayah.

"Motosikal jenis Yamaha 135z ditunggang suspek juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek berusia 24 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!