Tanah jerlus Masjid India: Bomba usaha rungkai ‘backlog’ 15 meter
KUALA LUMPUR - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur mula merungkai ‘backlog’ sepanjang 15 meter secara berperingkat bermula 5 petang pada Khamis.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sekatan itu dikesan dalam lurang kumbahan dari lokasi mendapan tanah jerlus sehingga ke lokasi Wisma Yakin di sini.
Menurutnya, ia dikenal pasti selepas dua tong cuba dihanyutkan pasukan SAR dari lubang di lokasi kejadian namun tidak sampai ke Loji Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam.
“Selepas kita melihat dan membaca jarak gerakan kamera, kita percaya bahawa terdapat halangan di dalam paip daripada jarak lurang kumbahan di Wisma Yakin kira-kira 7.6 meter.
"Kita mengesan backlog (sekatan) lebih kurang anggaran 15 meter panjangnya.
“Pada jam 5 petang kita telah memulakan usaha untuk merungkaikan backlog itu.
"Kita dah mulakan gerakan, dan kalau backlog kita berjaya rungkaikan insya-ALLAH kita akan mula boleh nampak keseluruhan permukaan kawasan itu," katanya.
Tambah beliau, paras air yang terkumpul di dalam sekatan berkenaan boleh menyebabkan risiko tinggi kepada pasukan SAR.
Justeru, katanya, kerja-kerja mengalihkan sekatan terbabit perlu dibuat secara berhati-hati.
"Kerisauan kita backlog tersebut, berdasarkan penilaian kita, lebih kurang 100 tan kuasa air, kalau kita terungkai backlog ini tekanan air ini risiko sangat besar.
“Keutamaan kita rungkai backlog gunakan kaedah tarikan sedikit demi sedikit oleh pasukan SAR.
“Malam ini selepas kurangkan paras air kita akan gunakan pancutan bertekanan tinggi (teknik jetting) oleh IWK di lokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lokasi kejadian pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pasukan penyelamat berdepan risiko tinggi ketika mencari mangsa dengan gas metana dan hidrogen sulfat dikesan dalam lurang kumbahan di lokasi kejadian.
“Kita ada (kesan) gas metana secara organik, udara lain gas memenuhi kawasan itu.
“Bacaan oksigen juga turun tapi dalam konteks ini kita ada dua pendekatan iaitu memastikan pasukan SAR masuk ke kawasan menggunakan skuba set.
“Keduanya kita mematuhi standar keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) IWK. Di setiap seksyen kita ada pemantauan dan kita pastikan bila masuk, keadaan adalah selamat," katanya.
Tambahnya, pasukan SAR juga menggunakan pam berkuasa tinggi untuk mengurangkan paras air sepanjang lurang kumbahan.
Proses itu bermula pada tengah malam Rabu, menggunakan dua pendekatan utama iaitu melencongkan sebahagian aliran air kumbahan masuk dan menggunakan dua pam berkapasiti tinggi dengan kapasiti 10,000 hingga 20,000 liter.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa seorang warganegara India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Operasi mencari dan menyelamat kini masuk hari ketujuh. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!