Allianz Malaysia, MSN perkukuh pembangunan atlet para negara
MAJLIS Sukan Negara (MSN) dan Allianz Malaysia Berhad memperkukuhkan jalinan kerjasama memperkasakan program pembangunan atlet-atlet para negara.
Lanjutan kerjasama yang bermula sejak 2022 itu menyaksikan Allianz Malaysia rakan penaja MSN meneruskan inisiatif membiayai program latihan atlet-atlet para negara dari 2025 hingga 2028.
Kontrak baharu itu juga menyaksikan Allianz dilantik rakan strategik dan penaja utama program atlet-atlet para, termasuk bagi temasya Sukan Para ASEAN 2025 dan 2027, Sukan Para Asia 2026 serta Sukan Paralimpik 2028.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata: “MSN amat gembira dengan lanjutan kontrak penajaan ini kerana ia membuktikan kerjasama sedia ada di antara kedua-dua pihak berlangsung dengan baik.
"Penajaan ini akan menyumbang kepada pembiayaan kos latihan dan persiapan atlet para untuk beberapa temasya sukan utama dunia pada masa depan.
“Bagi pihak MSN dan barisan atlet para negara, kami amat berterima kasih kepada pengurusan dan semua warga kerja Allianz Malaysia Berhad.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang berkata, inisiatif berkenaan adalah bukti keyakinan Allianz Malaysia terhadap atlet-atlet para negara yang mengalas cabaran Malaysia di
Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.
“Allianz Malaysia amat gembira dengan pengumuman lanjutan kontrak penajaan bersama MSN ini. Atlet-atlet para Malaysia telah menunjukkan kemampuan yang luar biasa dan kami yakin mereka mampu mengibarkan Jalur Gemilang dengan megahnya di Sukan Paralimpik Paris 2024.
“Kami juga yakin dengan pengumuman lanjutan penajaan ini akan menyemarakkan lagi semangat juara semua para atlet kita semasa bertanding nanti. Allianz akan terus menyokong anda. Allianz juga memberikan perlindungan insurans perjalanan kepada semua Kontinjen Para Malaysia,” katanya.
Perjanjian rakan strategik itu juga menyaksikan Allianz Malaysia menjadi penaja utama kepada sirkit pertandingan para.
Selain itu, inisiatif berkenaan membolehkan syarikat tersebut meneruskan program Allianz MoveForward dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada atlet yang mahu mencari laluan kerjaya baharu selepas bersara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!