Budak 12 tahun reka cerita diculik takut dimarahi bapa

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menafikan berlaku kejadian culik seorang kanak-kanak berusia 12 tahun di Setia Alam, di sini, seperti yang tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embol berkata, laporan kes culik itu telah dibuat bapa mangsa berusia 41 tahun pada jam 11.16 malam, pada Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati kanak-kanak lelaki ini masih bersekolah dan setiap hari akan mengikuti pengajian al-Quran di surau berdekatan dengan rumahnya dari jam 8 hingga 9 malam.

"Pada hari kejadian (Rabu) selepas kelas belajar al-Quran, mangsa tidak terus pulang ke rumah tetapi telah berjalan kaki seorang diri menuju ke kawasan Setia City Mall dengan niat hendak melarikan diri dari rumahnya.

"Mangsa kemudian telah diselamatkan oleh satu pasangan warga tempatan yang kebetulan melalui jalan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, sebelum dihantar pulang, kanak-kanak itu telah dibawa ke sebuah stesen minyak di Setia Alam untuk membeli makanan terlebih dahulu disebabkan kelaparan.

Katanya, kemudian kanak-kanak berusia 12 tahun itu meminta kebenaran untuk ke tandas dan terus menefon bapanya.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa terpaksa mereka-reka cerita kerana takut dimarahi oleh bapanya," ujarnya.

Jelas Ramsay, semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati tiada kejadian culik berlaku seperti mana yg diceritakan oleh kanak-kanak terbabit.

"Rakaman itu memaparkan kanak-kanak itu sedang membeli makanan bersama satu lelaki yang membantunya dan polis telah kenal pasti saksi ini sebelum dipanggil untuk dirakam percakapan," ujarnya.

Kata beliau, kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Tegasnya, mana-mana individu yang memberikan apa-apa maklumat palsu secara lisan atau bertulis kepada penjawat awam yang menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang sehingga mendatangkan bencana atau kegusaran kepada mana-mana orang boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Pada Khamis, tular di media sosial Facebook dakwaan seorang kanak-kanak lelaki diculik dua lelaki warga asing menaiki sebuah kenderaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!