Pertingkat aspek keselamatan wanita, kanak-kanak
KUALA LUMPUR - Kemerdekaan bukan hanya ditakrifkan sebagai kebebasan dalam membuat keputusan tetapi juga berkait aspek keselamatan khususnya terhadap wanita serta kanak-kanak.
Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, seiring pembangunan negara, ramai wanita telah menempa banyak kejayaan, namun masih terdedah dengan ancaman keselamatan.
Menurutnya, hal itu agak membimbangkan tambahan pula kebelakangan ini banyak kes kekerasan terhadap wanita dan kanak-kanak termasuk melibatkan jenayah rogol dan bunuh.
"Wanita bukan mahu bersaing dengan lelaki tetapi mahu diberikan peluang sama rata untuk bersama-sama membina negara.
"Dalam kita meraikan kemerdekaan, ramai golongan wanita telah mencapai tahap kecemerlangan membanggakan, namun yang merisaukan kita adalah aspek keselamatan wanita dan kanak-kanak.
"Saya harap semua pihak tidak kira lelaki dan wanita mengambil tanggungjawab untuk memastikan negara selamat selari konsep kemerdekaan dilaungkan," katanya ditemui pada Usanita Fest Kita Merdeka Madani, Jiwa Merdeka di Menara Kuala Lumpur pada Khamis.
Program bermula jam 3 petang anjuran Usanita sempena sambutan kemerdekaan memilih tema neon dan nostalgia zaman kanak-kanak menggabungkan elemen masa depan dan lampau dengan menyediakan pelbagai pengisian aktiviti seperti permainan tradisional congkak, ting-ting dan batu seremban serta demo seni kraf canting batik.
Turut diselitkan sentuhan futuristik melalui gubahan muzik untuk menarik minat golongan muda dan pelancong merasai keunikan budaya Malaysia.
Acara turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan serta Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan.
Sementara itu Adzliana berkata, program turut akan dimeriahkan dengan acara penghargaan terhadap wanita khususnya yang menceburi bidang belakang tabir.
"Mereka ini tidak nampak di media sosial tapi jasa dan pengorbanan mereka perlu dihargai.
" Sebanyak lima kategori anugerah akan disampaikan selain penyampaian top 5 perintis Usanita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!