Malaysia kutuk serangan di Tebing Barat korban lebih 40,000 mangsa

Tentera Israel menyerang beberapa kawasan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan menyerbu rumah penduduk Palestin. Foto AFP
Tentera Israel menyerang beberapa kawasan di seluruh Tebing Barat yang diduduki dan menyerbu rumah penduduk Palestin. Foto AFP
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar Negeri (KLN) dengan tegas mengutuk pencerobohan dan kekejaman berterusan oleh Israel di seluruh Gaza, Palestin dan Tebing Barat sejak Rabu yang menjadikan jumlah mangsa korban kini melebihi 40,000 orang.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, serangan besar-besaran pasukan keselamatan rejim Zionis ke atas bandar Jenin, Tulkarem, Tubas dan Nablus di Tebing Barat sejak 48 jam lalu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

"Operasi rejim itu di Tebing Barat mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023. Sehingga kini, rejim Israel masih meneruskan serangan ketenteraan di Tebing Barat serta pembersihan etnik dan genosid di Gaza.

"Jelas sekali, rejim Zionis Israel tidak mementingkan keamanan. Sebaliknya, Israel terus memanjangkan peperangan, mengancam keamanan dan keselamatan serantau," katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, ujar Wisma Putra, Malaysia dan masyarakat antarabangsa telah menyuarakan sokongan padu terhadap cadangan gencatan senjata tiga fasa oleh Amerika Syarikat seperti yang diperakui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Resolusi 2735 (2024).

Bagaimanapun, katanya, rejim Zionis terus merumitkan lagi rundingan gencatan senjata yang dirundingkan Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar.

"Malaysia juga menyuarakan kecaman keras terhadap perluasan penempatan Israel, termasuk tindakan peneroka haram Israel di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Masjid al-Aqsa.

Artikel Berkaitan:

"Resolusi Majlis Keselamatan 2334 (2016) dengan jelas menyatakan bahawa aktiviti penempatan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak mempunyai kesahihan di sisi undang-undang serta menuntut Israel menghentikan aktiviti tersebut.

"Dalam hal ini, Malaysia menganggap keputusan Amerika Syarikat untuk mengenakan sekatan terhadap kumpulan peneroka haram Israel adalah selaras dengan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva keempat, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2024," jelasnya.

Tambah Wisma Putra, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas dan konkrit untuk menghalang rejim Zionis daripada meneruskan genosid serta jenayah perang terhadap kemanusiaan di wilayah Palestin.

Katanya, Malaysia akan terus berpegang teguh dengan komitmen terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Menurutnya, Malaysia juga bakal bekerjasama dengan negara lain yang berfikiran sama untuk kemasukan Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.

Sebelum ini media melaporkan, Israel melancarkan operasi tentera besar-besaran di Tebing Barat yang diduduki dan mendakwa membunuh sembilan pejuang Palestin sejak Rabu.

Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin pula melaporkan 10 penduduk Palestin maut dan 22 cedera di Tebing Barat akibat keganasan berterusan oleh Israel yang sudah membunuh lebih 40,000 orang dalam perang 10 bulan di Gaza.

Operasi tentera terancang itu melibatkan empat bandar di utara Tebing Barat iaitu Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarem.

Pada masa sama, Ketua Bulan Sabit Merah Palestin di Tebing Barat, Younes al-Khatib, berkata, ambulans turut diserang Israel manakala salah seorang kakitangannya juga dipukul.

Sementara itu, Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, memaklumkan, operasi Israel berlaku 'berdekatan dengan empat hospital' dan ia 'dikepung' sehingga menjejaskan pergerakan pasukan perubatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!