Genap seminggu, pasukan SAR tak putus asa cari mangsa tanah jerlus

Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan persiapan bagi meneruskan operasi pencarian mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama
Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan persiapan bagi meneruskan operasi pencarian mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Genap seminggu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India tidak berputus asa dan meneruskan usaha siang dan malam bagi mencari mangsa.

Hari ini seawal jam 2 pagi lagi, Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melakukan selaman di salur kumbahan di lokasi kejadian susulan operasi sebelum ini mengesan terdapat objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.

Namun, dua penyelam JPBM terpaksa berdepan cabaran arus kuat dalam lurang kumbahan itu menyebabkan mereka tidak sampai ke lokasi objek yang dilaporkan tersekat.

Pada sebelah petang tadi, anggota bomba dilihat bergilir-bergilir memasuki loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam yang difahamkan sedalam bangunan lima tingkat bagi meneruskan pencarian mangsa.

Berdasarkan tinjauan Bernama di lokasi, tidak kurang tiga anggota bomba yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) menggalas tangki oksigen dan alatan pernafasan bergilir-gilir memasuki loji itu dengan setiap kali pusingan pencarian dianggarkan mengambil masa sejam.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersiap sedia memakai alatan menyelam bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang dalam insiden tanah jerlus, di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam. Foto Bernama
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersiap sedia memakai alatan menyelam bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang hilang dalam insiden tanah jerlus, di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam. Foto Bernama

Biarpun berdepan cabaran gas beracun seperti gas hidrogen sulfida dan gas metana yang mudah terbakar, pasukan SAR tetap gigih melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Hari ini, pasukan SAR berjaya mengesan satu timbunan atau ‘backlog’ sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian, hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sekiranya timbunan itu berjaya dirungkai, keseluruhan permukaan dalam paip kumbahan akan dapat dilihat sebelum pasukan penyelam melaksanakan tugas untuk mencari mangsa.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan hari ini menyatakan operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kelak.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan akan dibuat berdasarkan faktor-faktor kepentingan dan keselamatan awam khususnya di sekitar Jalan Masjid India.

Dalam pada itu di Kota Bharu, Kelantan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan kawasan Masjid India sebagai zon tidak selamat dan bencana.

Beliau berkata, untuk mengisytiharkan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, polis perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!