Dua termasuk kanak-kanak ditahan disyaki curi barang dalam kenderaan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun dan kanak-kanak berumur 12 tahun disyaki terlibat kes curi dalam kenderaan di Taman Cahaya Ampang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua mereka ditahan pada jam 11.30 malam semalam di sekitar Pandan Indah di sini selepas polis menerima laporan daripada pemandu e-hailing berusia 37 tahun mengenai kehilangan barangan dalam kenderaan miliknya.

Beliau berkata, pemandu berkenaan mendakwa meletakkan kereta jenis Perodua Alza di luar pagar rumah di Taman Cahaya Ampang pada jam 1.30 pagi dalam keadaan tidak berkunci.

"Kira-kira empat jam kemudian ketika hendak menggunakan kereta itu, didapati bahagian dalam kenderaan berselerak dengan beberapa barangan berharga dilaporkan hilang,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azam berkata, hasil semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai sembilan rekod jenayah dan direman empat hari hingga 1 Sept ini, manakala kanak-kanak berkenaan direman sehari hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun keseksaan kerana mencuri. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!