Lotus’s Malaysia naik taraf makmal sains SK Pandan Jaya

Lotus's Malaysia menggunakan dana #KitakanJiran sebanyak RM70,000 untuk menaiktaraf makmal sains SK Pandan Jaya.
Lotus's Malaysia menggunakan dana #KitakanJiran sebanyak RM70,000 untuk menaiktaraf makmal sains SK Pandan Jaya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) mengukir senyuman warga Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Jaya melalui penaiktarafan makmal sains dengan kos berjumlah RM70,000.

Ketua Komunikasi dan Kelestarian Lotus’s Malaysia, Hanim Hamdan berkata, kos membaik pulih makmal berkenaan adalah hasil daripada dana yang dikumpulkan menerusi Lotus’s Ceria Charity Run 2023.

Menurutnya, RM20 daripada setiap pendaftaran peserta disalurkan ke dana #KitakanJiran untuk memberikan pelajar-pelajar sekolah angkat Lotus’s Malaysia akses pembelajaran yang lebih baik.

“Melalui Lotus’s Ceria Charity Run 2023, kami berjaya mengumpulkan dana tunai sebanyak RM150,000 dengan sokongan lebih daripada 3,000 peserta dan rakan-rakan kongsi yang sudi menjadi penaja acara larian itu pada tahun lalu.

“Sebahagian daripada dana ini telah diperuntukkan untuk membaik pulih makmal sains SK Pandan Jaya dengan kos sebanyak RM70,000 bagi menggantikan perabot lama kepada meja dan almari yang diperbuat daripada besi serta aluminium,” katanya ketika majlis perasmian makmal sains pada Khamis.

Majlis berkenaan turut dihadiri Penolong Kanan Pentadbiran SK Pandan Jaya, Baharuddin Yassir; Timbalan Pegawai Pendidikan, Sektor Pengurusan Sekolah, Daerah Hulu Langat, Mohd Fadzli Abu Bakar dan Pengurus Besar Yayasan PINTAR, Norzalina Masom.

SK Pandan Jaya merupakan salah satu daripada 63 sekolah angkat Lotus's Malaysia.
SK Pandan Jaya merupakan salah satu daripada 63 sekolah angkat Lotus's Malaysia.

Turut hadir, Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin dan Ketua Bahagian Komersial, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Ng Kein Ai.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hanim, Lotus’s Malaysia juga telah menyiapkan kerja membaik pulih makmal komputer, bengkel reka bentuk dan teknologi di SK Methodist ACS, Seremban, Negeri Sembilan.

Sebagai salah satu ahli kumpulan Charoen Pokphand, Hanim berkata, projek berkenaan sejajar dengan komitmen Lotus’s Malaysia yang lebih meluas terhadap kelestarian seperti digariskan dalam 14 matlamat kelestarian syarikat.

Jelas beliau, salah satu matlamat tersebut adalah untuk memperkasakan 50,000 individu melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yayasan PINTAR yang telah bekerjasama dengan Lotus’s Malaysia sejak tahun 2016 melalui Program Sekolah Angkat. Sehingga ke hari ini jumlah sekolah angkat Lotus’s telah mencapai sebanyak 63 buah sekolah.

“SK Pandan Jaya dan SK Methodist ACS Seremban merupakan dua daripada 63 sekolah yang menerima manfaat melalui kolaborasi ini,” ujar beliau.

Makmal sains SK Pandan Jaya tidak dapat digunakan selama empat tahun ekoran daripada serangan anai-anai yang merosakkan keseluruhan perabot kayu makmal.
Makmal sains SK Pandan Jaya tidak dapat digunakan selama empat tahun ekoran daripada serangan anai-anai yang merosakkan keseluruhan perabot kayu makmal.

Sementara itu, Baharuddin turut menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan Lotus’s Malaysia kerana sudi membantu pihak sekolah membaiki makmal sains yang sudah empat tahun tidak digunakan.

Menurutnya, makmal sains itu tidak boleh digunakan kerana perabot seperti meja, kerusi serta almari diserang anai-anai.

“Pihak sekolah cuba untuk menangani hal ini dengan melaporkannya kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Alhamdulillah, berkat usaha tersebut SK Pandan Jaya dapat menikmati inisiatif daripada Lotus’s Malaysia.

“Kini, guru-guru mata pelajaran Sains tidak lagi perlu membawa perkakas makmal ke kelas untuk sesi pembelajaran kerana ruangan ini (makmal) boleh digunakan sepenuhnya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!