‘Al-Quran jadi ubat bersihkan hati, elak perbuatan rasuah’

Fazrul Ismail
Fazrul Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Amalan rasuah sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta perlu dibendung dari peringkat akar umbi bagi memastikan tata kelola dijalankan dengan telus tanpa sebarang unsur salah guna kuasa.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail berkata, perkara tersebut akan memberi impak negatif dalam kehidupan apabila tidak jujur dalam menjalankan amanah.

“Individu yang tidak berintegriti ini mereka lebih cenderung untuk datang kerja lewat, culas dan tidak amanah dalam menjalankan kerja.

“Rasuah tidak akan menambah wang, sebaliknya akan membuat diri kita hancur kerana perbuatan jenayah dan duit yang diperoleh tidak berkat," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya.

Kesemua tertuduh didakwa telah meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif berpangkat Datuk bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya berkenaan direman selama empat hari manakala, lima lagi individu iaitu pemilik syarikat pula direman selama tiga hari.

Mengulas lanjut, menurut Fazrul, masyarakat perlu lebih menghayati isi kandungan al-Quran bagi membersihkan hati dan mengelak perbuatan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, apabila seseorang itu mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, mereka akan cenderung melakukan kebaikan dan menjauhi perkara yang dilarang.

“Al-Quran ini mengubat hati individu daripada melakukan perkara yang menyalahi undang-undang selain mengelakkan diri daripada jenayah rasuah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!