Tak sangka khidmat jahit stereng kereta buahkan hasil

Muhammad Shalihin menunjukkan perkhidmatan jahitan stereng disediakan yang mendapat sambutan pelanggan.
Muhammad Shalihin menunjukkan perkhidmatan jahitan stereng disediakan yang mendapat sambutan pelanggan.
A
A
A

BESUT - Seorang pemuda tidak menyangka perkhidmatan menjahit stereng kereta yang ditawarkan selepas hilang mata pencarian sejak Mei lalu membuahkan hasil.

Muhammad Shalihin Hashim, 24 berkata, idea itu tercetus selepas mempelajari kemahiran jahitan daripada ibunya yang merupakan seorang tukang jahit selain kaedah jahitan melalui internet.

Menurutnya, perkhidmatan yang dilakukan secara bergerak itu mempunyai potensi dan menerima sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.

"Saya berlatih menjahit ini pada empat stereng kereta milik keluarga. Selepas benar-benar mahir, saya mula membuka tempahan.

"Rupa-rupanya ramai yang mencari perkhidmatan ini dan saya bersyukur apa yang dilakukan ini mendapat sambutan," katanya ketika ditemui di Bandar Jerteh di sini.

Muhammad Shalihin yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik berkata, hasil usaha tanpa jemu, dia berjaya memendekkan tempoh masa jahitan daripada dua jam kepada 20 hingga 40 minit untuk setiap satu stereng kereta.

Muhammad Shalihin menyediakan khidmat menjahit stereng kereta secara bergerak bergantung kepada permintaan pelanggan.
Muhammad Shalihin menyediakan khidmat menjahit stereng kereta secara bergerak bergantung kepada permintaan pelanggan.

Katanya, setakat ini dia telah menjahit kira-kira 200 stereng kereta buatan tempatan dan import.

Artikel Berkaitan:

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu memberitahu, dia akan bergilir-gilir melakukan perkhidmatan tersebut di sekitar Kelantan dan Terengganu pada setiap minggu dengan menerima dua hingga enam tempahan sehari.

"Apa yang saya perhatikan, perkhidmatan ini jarang dibuat di Kelantan dan Terengganu dan mudah didapati di kawasan ibu kota kerana menjadi trend dalam kalangan golongan muda untuk menghias kereta.

"Sebab itu saya mula tawarkan khidmat membaiki dan menjahit stereng kereta secara bergerak dari satu tempat ke satu tempat mengikut kehendak dan keselesaan pelanggan.

"Saya juga menerima tempahan daripada mereka yang tinggal di Selangor dan Johor kerana secara kebetulan bertemu mereka yang pulang ke Kelantan dan Terengganu," katanya.

Muhammad Shalihin berkata, khidmat yang disediakan itu dipromosikan secara dalam talian dengan harga RM50 hingga RM70 mengikut jenis kenderaan.

"Saya mengenakan cas pengangkutan sekitar RM10 hingga RM60 mengikut jauh perjalanan. Setakat ini saya mampu menjana pendapatan lebih RM2,000 sebulan.

"Walaupun pembalut siap pasang juga dijual dipasaran, khidmat begini masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!