Bela hak penumpang kapal terbang

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Keputusan Kementerian Pengangkutan menambah baik Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) amat dialu-alukan orang ramai kerana melindungi hak pengguna.

Malah arahan kepada syarikat penerbangan supaya menawarkan pengguna pilihan bayaran balik sepenuhnya dalam cara pembayaran asal sekiranya mengalami kelewatan penerbangan lima jam dan lebih sangat wajar dilaksanakan.

Bagi sukarelawan pertubuhan kemanusiaan, Muhammad Faeez Azahar, 31, keputusan tersebut sangat menggembirakan dan berpuas hati dengan tindakan proaktif dilakukan kerajaan.

Muhammad Faeez
Muhammad Faeez

Beliau mengakui pernah melalui situasi kelewatan atau penangguhan penerbangan sehingga mengganggu tugasnya menjalankan misi kemanusiaan di luar negara.

“Kelewatan akan menjejaskan perancangan asal. Apabila lewat, kami terpaksa tanggung rugi apabila terlepas pengangkutan di lokasi tiba. Ia juga menyebabkan kami terlepas program-program penting selain menjejaskan jadual yang telah disusun.

“Jadi saya menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Madani dalam melindungi hak pengguna, ia merupakan satu langkah proaktif yang wajar dipuji.

“Saya yakin ketetapan ini mampu dipatuhi oleh syarikat penerbangan sekiranya pihak kerajaan bertindak tegas kepada pemain-pemain industri ini dan tidak takut dan ikut kehendak mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengguna, Beh Zeng Kang, 28, menyifatkan arahan bayaran balik sepenuhnya bagi penerbangan lewat itu amat wajar kerana pelanggan tidak sepatutnya dibebani dengan masalah syarikat penerbangan.

Zeng Kang
Zeng Kang

Katanya, ini kerana sebarang kelewatan penerbangan bukan disebabkan kecuaian penumpang, tetapi disebabkan kegagalan atau kesilapan sistem syarikat penerbangan itu sendiri menyebabkan orang lain terpaksa menanggung kerugian.

“Saya rasa ia adil dan saksama bagi pengguna kerana ada kalanya kelewatan tersebut bakal membawa implikasi terhadap rancangan perjalanan khususnya bagi pengguna yang mempunyai urusan rasmi atau kerja.

“Jika kelewatan menyebabkan kerugian kepada pelanggan, syarikat penerbangan akan membayar pampasan ke atas kerugian yang dialami tersebut? Sudah pastinya tidak kerana pelanggan terpaksa menanggungnya sendiri,” katanya yang merupakan seorang perunding.

Bagi usahawan, Irmalini Amir Hamzah, 39, isu kelewatan penerbangan merupakan isu lapuk yang sudah berlaku sekian lama tanpa ada penyelesaian memihak kepada pengguna.

Irmalini
Irmalini

Jelasnya, keputusan dibuat Kementerian Pengangkutan disifatkan sebagai ‘kemenangan’ buat pengguna kerana selama ini mereka terpaksa menurut segala ketetapan pihak syarikat penerbangan.

“Saya harap syarikat penerbangan akur dengan arahan tersebut manakala pihak kementerian pula pastikan tiada syarikat penerbangan yang cuba mengelak untuk dari mematuhi ketetapan berkenaan.

“Kita bayar perkhidmatan pengangkutan ini bukan untuk dapatkan kelewatan penerbangan, tetapi dengan harapan boleh memudahkan segala urusan. Dengan adanya peraturan baharu ini, diharap syarikat-syarikat penerbangan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!