Berpisah bukan bererti lepas tangan

Rita Rudaini sendirian membesarkan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Rita Rudaini sendirian membesarkan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
A
A
A

TERBACA kisah selebriti dan pelakon terkenal, Rita Rudaini yang meluahkan rasa membuatkan penulis terpanggil untuk menulis mengenai isu wanita bergelar ibu tunggal.

10 tahun sendirian membesarkan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, bukan satu perjalanan yang mudah buat anak jati Perlis itu.

Fasa hidup berstatuskan ibu tunggal bukanlah satu yang membanggakan, namun ramai wanita di luar sana menjadikan Rita sebagai idola terutama dalam hal mendidik dan membesarkan anak sehingga berjaya biarpun tanpa kehadiran figura seorang lelaki atau ayah.

Biarpun terpalit pelbagai kontroversi dengan bekas suaminya, namun kejayaan demi kejayaan dikecap anak-anaknya.

Sebagai ibu, bukan nama atau penghargaan yang dikejar, namun bahagianya hati bekas pramugari dan finalis Dewi Remaja 1998/1999 itu adalah kerana melihat anak-anak meniti kejayaan.

Bukanlah penulis mahu menuduh, namun terdapat segelintir kaum Adam usai bercerai, dilihat lepas tangan dan membiarkan bekas isteri terkapai-kapai membesarkan anak-anak sendirian. Itu belum bab culas dan liat menghulurkan wang saraan dengan menyajikan pelbagai alasan.

Kerenah birokrasi selain proses mendapatkan keadilan sering tertunda membuatkan ada ibu tunggal pejam mata dan berputus asa untuk menuntut hak. Sebaliknya, mereka memilih untuk berdamai dengan takdir membesarkan anak-anak dengan tulang empat keratnya sendiri.

Ironinya, bukan hanya Rita seorang yang mampu berbuat demikian, bahkan ramai wanita bergelar ibu tunggal di luar sana yang boleh menjadi contoh dan idola, bahkan diangkat oleh pihak tertentu sebagai ikon yang berjaya mendidik anak-anak dan pada masa sama berjaya dalam karier.

Artikel Berkaitan:

Namun, jangan salah faham atau menganggap penulisan ini menggalakkan penceraian. Sebaliknya, penulis ingin memberi semangat kepada kaum wanita, khususnya ibu-ibu yang ditinggalkan di luar sana bahawa mereka boleh bangkit dan berusaha demi anak-anak.

Bagi bapa yang bertanggungjawab, mereka harus faham, walaupun si ibu berpendapatan tinggi macam mana sekalipun, nafkah tetap tanggungjawab seorang bapa. Seharusnya apabila sudah bersedia untuk menjadi suami dan bapa, perlu ada kesedaran dan tanggungjawab.

Meskipun telah bercerai, tanggungjawab memberi nafkah anak ini jangan sesekali diabaikan waima tidak sebulu dengan bekas isteri.

Jika ada yang masih berdegil dan cuai dalam pemberian nafkah anak, penyelesaian boleh diambil menerusi jalan perundangan. Mahkamah Syariah seluruh Malaysia khususnya di Selangor menyediakan beberapa penyelesaian bagi memberikan pengajaran kepada seorang suami atau bapa yang culas dalam menyediakan nafkah anak-anak.

Salah satunya adalah pelaksanaan potongan gaji suami atau bapa melalui perintah tahanan pendapatan tenaga di bawah Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak (Penguatkuasaan Nafkah) 1968, bagi tujuan pembayaran nafkah semasa atau tunggakan nafkah anak.

Terbaharu, pelaksanaan prosiding hiwalah yakni prosiding penahanan hutang yang kena dibayar oleh mana-mana orang lain yang berhutang (garnishee atau muhal‘alaih) kepada penghutang penghakiman.

Contohnya, suami atau bapa yang mempunyai wang simpanan di dalam bank. Maka pihak bank yang menyimpan wang suami atau bapa ini merupakan garnishee atau muhal‘alaih yang boleh diperintahkan untuk menyekat atau membayar harta yang berada di dalam akaun bank suami atau bapa untuk dibayar kepada pemiutang penghakiman.

Kesimpulannya, setiap penceraian yang berlaku harus ditangani dengan baik, demi masa depan anak-anak tidak berdosa. Jangan mementingkan diri sendiri sehingga emosi anak-anak diabaikan.

Bercerai tidak memutuskan ikatan anak dengan ibu atau ayah. Anda masih punya tanggungjawab memberi perhatian dan kasih sayang supaya mereka rasa diri masih disayangi walaupun kedua-dua ibu bapa sudah berpisah.

* Zaiton Abdul Manaf ialah Editor SinarPlus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!