Elaun veteran tanda hargai keringat wira negara

Memikul tanggungjawab dan tugas besar ketika melindungi negara daripada ancaman atau situasi berbahaya menjadikan individu dalam pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba termasuk petugas perubatan layak diberi penghargaan setelah bersara. - Gambar ihsan PDRM
Memikul tanggungjawab dan tugas besar ketika melindungi negara daripada ancaman atau situasi berbahaya menjadikan individu dalam pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba termasuk petugas perubatan layak diberi penghargaan setelah bersara. - Gambar ihsan PDRM
A
A
A

MEMIKUL tanggungjawab dan tugas besar ketika melindungi negara daripada ancaman atau situasi berbahaya menjadikan individu dalam pasukan keselamatan seperti polis, tentera, bomba termasuk petugas perubatan layak diberi penghargaan setelah bersara.

Hal ini kerana, tidak semua pesara mempunyai kemampuan untuk melakukan pekerjaan sampingan bagi menampung kelangsungan hidup selain bergantung dengan simpanan atau pencen sedia ada.

Selain daripada bantuan kewangan atau elaun persaraan, pelbagai kaedah atau alternatif lain yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan dalam membantu golongan veteran.

Pada Khamis, Presiden Persatuan Kebajikan Veteran Polis Malaysia (VPOL), Datuk Hussin Awang Ngah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan untuk memperkasa kebajikan veteran polis sempena Belanjawan 2025.

Pertama, beliau mencadangkan agar Elaun Tetap Sara Kebajikan (ETSK) sebanyak RM500 sebulan diwujudkan bagi memastikan kesejahteraan kewangan veteran dan juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap tanggungjawab sosial serta pengiktirafan terhadap jasa mereka.

Keratan akhbar Sinar Harian pada Khamis.
Keratan akhbar Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran Polis di bawah Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Perdana Menteri bagi memberi tumpuan khusus kepada kebajikan veteran polis.

Ini memungkinkan penyelarasan dan pelaksanaan program kebajikan yang lebih efisien dan berkesan, dengan peruntukan tetap jabatan berkenaan dapat memastikan keperluan veteran dipenuhi secara berterusan dan sistematik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut mengemukakan alternatif berkaitan rawatan kasihatan iaitu penyediaan perkhidmatan perubatan percuma di semua hospital dan klinik kerajaan untuk veteran polis dan keluarga adalah langkah yang sangat diperlukan.

Antara cadangan lain adalah Geran Pentadbiran dan Aktiviti kepada Persatuan Veteran, Laluan Hijau Perubatan, Penganugerahan Pingat Secara Automatik serta mewujudkan universiti dan hospital Polis.

Walaupun cadangan VPOL untuk Belanjawan 2025 adalah usaha komprehensif dan menyeluruh dalam memperkasa kebajikan veteran polis, namun kerajaan juga boleh mempertimbangkan perkara sama untuk pesara daripada perkhidmatan yang lain juga.

Menerusi sokongan terhadap inisiatif berkenaan, kerajaan dapat membuktikan komitmen terhadap penghargaan dan kesejahteraan pesara yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Pelaksanaan cadangan ini akan memberi impak positif kepada veteran, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan, memperkukuhkan sistem sokongan sosial dan memastikan kesejahteraan pesara dalam jangka panjang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!