Keluhan penumpang udara akhirnya didengari

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KEMENTERIAN Pengangkutan menetapkan semua syarikat penerbangan wajib membayar ganti rugi kepada penumpang sekiranya lewat lebih lima jam, berkuat kuasa 2 September ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook pada Rabu berkata, syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pilihan bayaran balik penuh kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan, dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

Ini merupakan susulan langkah penambahbaikan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang memberi perlindungan lebih baik bagi pengguna penerbangan.

Turut ditambah baik ialah berkuat kuasa Januari depan, sebarang perubahan dalam Waktu Perlepasan yang Dijadualkan (STD) mesti dimaklumkan kepada pengguna sekurang-kurangnya dua minggu sebelum waktu perlepasan sebenar, melainkan ia disebabkan hal keadaan luar biasa atau masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Kegagalan untuk mematuhi MACPC boleh dikenakan penalti kewangan maksimum sebanyak RM200,000 dan dalam kes ketidakpatuhan kedua atau seterusnya, jumlah 10 kali ganda daripada penalti kewangan pertama akan dikenakan.

Sememangnya pengumuman ini amat ditunggu-tunggu pengguna pengangkutan udara. Manakan tidak, sebelum ini banyak kedengaran keluhan pengguna yang terpaksa mengikut sahaja telunjuk syarikat penerbangan.

Sering kali terdengar penumpang terkandas berjam-jam di lapangan terbang apabila jadual penerbangan mereka ditangguhkan, malah ada yang mengambil keputusan membatalkan sahaja perjalanan mereka dan membiarkan tiket penerbangan mereka ‘hangus’ begitu sahaja.

Sedangkan, pengguna mengeluarkan wang yang banyak untuk menggunakan perkhidmatan mereka dan sepatutnya mempunyai hak sekiranya syarikat penerbangan gagal memberi perkhidmatan diharapkan.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, sebuah syarikat penerbangan menjelaskan bahawa faktor seperti cuaca, cabaran teknikal, tenaga kerja, kekangan rantaian bekalan dan pemulihan operasi penerbangan global selepas pandemik antara menyumbang kepada kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Namun, mereka perlu sedar bahawa apa sahaja alasan diberikan, pengguna tidak mahu ambil tahu. Bagi pengguna, mereka mahukan perkhidmatan terbaik dan jika selalu lewat atau batal, ia menunjukkan syarikat penerbangan tersebut bermasalah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!