Revolusi tandas Kor Ming

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

MENJELANG Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Perpaduan komited mempertingkatkan lagi kemudahan infrastruktur asas dan penawaran produk pelancongan bernilai tinggi bagi menggamit kehadiran pelancongan asing yang disasarkan berjumlah 26.1 juta.

Hakikatnya, isu tandas kotor terus menjadi cabaran buat Malaysia apabila pada tahun 2022 sahaja sebanyak 5,241 tandas awam daripada 26,081 tandas awam di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berstatus dua bintang dan ke bawah (kurang bersih dan kotor).

Sehubungan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) julung kalinya pada tahun lalu telah memperkenalkan Anugerah Toilet Of The Year (TOTYA) 2023, bertujuan memastikan tandas awam di negara ini bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) selain menaikkan imej Malaysia khususnya dalam kalangan pelancong asing.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Menteri KPKT, Nga Kor Ming bersama wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN mengenai harapan beliau dalam memastikan kemudahan tandas dan infrastruktur PBT lain di seluruh negara bertaraf dunia.

SINAR PREMIUM: Selepas Anugerah TOTYA diperkenalkan sejak tahun lalu, adakah program ini memberi impak positif? Bagaimana sambutan daripada pihak swasta?

NGA KOR MING: TOTYA 2024 semakin dinanti-nanti oleh pihak swasta di mana kami menerima sebanyak 497 penyertaan daripada mereka. Ia menunjukkan peningkatan berbanding penyertaan tahun lepas iaitu sebanyak 345.

Senarai tandas awam dan swasta yang menjadi pemenang pada TOTYA 2023 dan penanda aras kepada tandas-tandas awam lain di seluruh negara.
Senarai tandas awam dan swasta yang menjadi pemenang pada TOTYA 2023 dan penanda aras kepada tandas-tandas awam lain di seluruh negara.

Inisiatif anugerah TOTYA telah memberi impak sangat positif kepada pihak swasta khasnya pasaran industri. Banyak pemilik premis swasta telah mengisytiharkan tandas mereka bertaraf tandas BMW di mana konsep tandas BMW ini telah menjadi trend untuk mewujudkan tandas awam selesa dan bersih untuk kegunaan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kementerian Pelancongan (MOTAC) telah bekerjasama dengan pihak KPKT untuk menjadikan TOTYA 2024 sebagai platform mendapatkan calon-calon tandas awam BMW bagi Anugerah ASEAN Public Toilet Awards.

Ertinya semua pemenang dan finalis dalam TOTYA 2024 akan dicalonkan untuk anugerah ASEAN Public Toilet Awards yang akan diadakan tahun depan.

Ini merupakan satu pengiktirafan kepada inisiatif anugerah TOTYA KPKT dan secara tidak langsung semakin banyak tandas-tandas awam di Malaysia akan mendapat pengiktirafan di peringkat ASEAN selepas ini.

--SH: Berapakah sasaran KPKT untuk tahun ini bagi tandas yang mencapai BMW?

Pada tahun ini, KPKT menyasarkan 75 peratus (1,806) tandas awam milik PBT mencapai tahap tandas BMW dan bagi tandas milik swasta pula, pihak KPKT jangkakan akan meningkat kepada 40 peratus (10,481).

Jumlah peningkatan untuk tandas milik swasta tidak terlalu banyak memandangkan kos diperlukan untuk menaik taraf tandas yang perlu ditanggung oleh pihak swasta agak tinggi.

Tandas awam PBT telah menerima peruntukan khas RM150 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

--SH: Berapa dana keseluruhan diperlukan KPKT untuk menaik taraf kualiti keseluruhan tandas awam PBT termasuk di Sabah dan Sarawak?

Kita mempunyai 2,838 tandas awam milik PBT di seluruh Malaysia. Mengikut pengiraan, jumlah peruntukan RM150 juta yang disalurkan kepada KPKT adalah mencukupi untuk menaik taraf tandas-tandas awam PBT kepada tandas bertaraf BMW di mana setiap PBT dijangka akan menerima lebih kurang RM960,000.

Bagaimanapun, dalam agihan peruntukan sebenar, siling peruntukan telah ditetapkan Kementerian Ekonomi untuk setiap PBT mengikut negeri bagi projek naik taraf tandas awam, kolam takungan banjir, perparitan dan longkang, My Kiosk dan lampu LED.

Maksudnya setiap PBT tidak semestinya menerima RM960,000 dan jumlah peruntukan bergantung kepada keutamaan projek naik taraf PBT. PBT boleh menaik taraf kesemua tandas miliknya kepada tahap BMW, tetapi untuk mengekalkan tahap BMW ini secara konsisten adalah sukar.

Hal ini disebabkan oleh perbuatan vandalisme selain sikap segelintir pengguna tandas yang masih mempunyai tahap kesedaran penjagaan kebersihan rendah.

--SH: Melalui agenda signifikan ini, bagaimana YB melihat tahap kesedaran sivik rakyat Malaysia terhadap isu kebersihan tandas berbanding penduduk negara maju seperti Jepun dan negara tumpuan pelancong seperti Thailand dan Vietnam?

Sejak memegang jawatan Menteri KPKT dalam tempoh hampir dua tahun inilah baru saya memperkenalkan konsep tandas BMW. Maksudnya kita baru hendak mula mendidik masyarakat ke arah penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan tandas awam ke tahap BMW.

Banyak PBT masih berdepan masalah perbuatan vandalisme di mana tandas-tandas awam milik PBT dirosakkan dan dikotorkan oleh pengguna. Bagaimanapun, dengan adanya konsep tandas BMW ini, jumlah tandas awam milik PBT dinaik taraf ke tandas bertaraf BMW semakin meningkat.

Penawaran kemudahan tandas lebih baik dan selesa secara tidak langsung dapat mengurangkan amalan vandalisme dalam kalangan masyarakat.

Dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun, Malaysia masih ketinggalan di belakang walaupun kita sedang berusaha mengejar dan memastikan tahap kebersihan tandas awam kita setanding mereka.

Thailand pula berada sedikit depan daripada kita, tetapi saya percaya kita akan berada pada tahap lebih baik dalam tempoh dua tahun lagi.

--SH: Berapa lama tempoh masa diperlukan KPKT untuk mengadaptasi teknologi pintar dalam perkhidmatan tandas awam dan swasta di negara?

Kor Ming (kiri) percaya Malaysia berkeupayaan memastikan sekurang-kurangnya 75 peratus tandas awam di negara ini mencapai tahap BMW menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kor Ming (kiri) percaya Malaysia berkeupayaan memastikan sekurang-kurangnya 75 peratus tandas awam di negara ini mencapai tahap BMW menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Mulai tahun ini, saya telah meminta agar tandas BMW pintar diperkenalkan oleh PBT melalui projek naik taraf tandas BMW-i milik PBT di mana sebanyak 14 buah tandas BMW-i akan disediakan oleh PBT.

Selain itu, saya juga telah memberi peruntukan khas untuk membina tandas BMW-i di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kita nantikan kewujudan tandas BMW-i yang dijangka siap sebelum Tahun Melawat Malaysia Tahun 2026.

--SH: Selain pertandingan TOTYA 2024, apa lagi inisiatif diperkenalkan KPKT dalam menggalakkan pihak PBT dan swasta menaik taraf infrastruktur awam lain?

KPKT telah memperkenalkan Pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam yang menawarkan bajet peruntukan lebih RM10 juta.

Pertandingan ini merupakan satu pendekatan baharu dalam sejarah pembangunan prasarana awam di negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!