Misteri hilangnya MH370 berjaya dirungkai?
SYDNEY - Selepas sedekad berlalu kisah kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 kini kembali menjadi topik utama perbincangan awam apabila seorang penyelidik mendakwa bahawa beliau berjaya merungkai misteri kehilangan pesawat itu.
Menurut penyelidik dari Universiti Tasmania, Vincent Lyne, kajiannya telah berjaya mengenal pasti 'lokasi persembunyian yang sempurna' di mana pesawat itu telah 'menghilang'.
Dakwanya, pesawat yang hilang pada 8 Mac 2014 itu sebenarnya tersembunyi di kawasan Broken Ridge, iaitu sebuah plat lautan sedalam 6,000 meter di tenggara Lautan Hindi sekali gus menyifatkan usaha pencarian dilakukan selama ini dibuat di lokasi yang salah.
“Lokasi ikonik yang telah direncanakan itu mempunyai lubang yang sangat dalam, 6,000 meter di hujung timur Broken Ridge dalam persekitaran laut yang berbahaya dan terkenal dengan ikan-ikan liar dan spesies air dalam yang baharu.
“Dengan sisi curam yang sempit, dikelilingi oleh rabung besar dan lubang dalam yang lain, ia dipenuhi dengan mendapan halus iaitu tempat ‘bersembunyi’ (MH370) yang sempurna,” katanya lapor DailyMail.
Susulan itu, beliau mendakwa bahawa juruterbang MH370 membuat keputusan yang dirancang untuk 'menghilangkan' pesawat bersama 239 orang di dalamnya.
MH370 hilang tanpa jejak daripada radar
Perit untuk ditelan, tetapi realitinya, pesawat itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dilapor berakhir di selatan Lautan Hindi.
Insiden itu mengejutkan dunia dan menjadi salah satu misteri penerbangan paling kompleks dalam sejarah.
Dalam pada itu, Lyne menjelaskan carian sebelum ini mungkin terlepas dari lokasi sebenar disebabkan topografi bawah air yang kompleks di Broken Ridge.
Beliau berhujah bahawa lokasi tepat yang dikenal pastinya telah ditolak sebagai tidak relevan oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sebelum ini, yang berpotensi menjelaskan mengapa pesawat itu masih belum ditemui.
“Sama ada ia akan dicari atau tidak, terpulang kepada pegawai dan syarikat pencarian, tetapi dari segi sains, kita tahu mengapa pencarian sebelum ini gagal dan begitu juga sains jelas menunjukkan di mana terletaknya MH370. Pendek kata, misteri MH370 telah diselesaikan secara menyeluruh dalam sains!” tegas Lyne.
Hasil dapatan Lyne bakal diterbitkan oleh Journal of Navigation.
Kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 kekal sebagai salah satu misteri paling membingungkan dalam sejarah penerbangan.
Bagaimanapun teori baharu Lyne mengenai lokasi pesawat di Broken Ridge menawarkan perspektif baharu yang berpotensi menyelesaikan misteri kehilangan MH370. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!