Gua-gua kecil di dasar Kuala Lumpur tidak seteruk gambaran media sosial – Presiden IGM

Gua-gua kecil sememangnya terbentuk di dasar Kuala Lumpur tetapi tidak seburuk yang digambarkan dalam media sosial. Foto Bernama
Gua-gua kecil sememangnya terbentuk di dasar Kuala Lumpur tetapi tidak seburuk yang digambarkan dalam media sosial. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gua-gua kecil sememangnya terbentuk di dasar Kuala Lumpur tetapi tidak seburuk yang digambarkan dalam media sosial.

Presiden Institut Geologi Malaysia, P Geol Gs Abd Rasid Jaapar berkata, jurutera-jurutera telah melaksanakan langkah berkaitan untuk memastikan isu mengenai kaviti ini ditangani dan menjamin keselamatan penduduk serta struktur bangunan.

“Batu Caves adalah batu kapur di atas permukaan. Kita nampak topografi Batu Caves yang kita panggil fitur kars yang tajam dengan gua-gua.

“Keadaan yang sama berlaku juga di bawah permukaan Kuala Lumpur. Tetapi tidaklah seteruk yang digambarkan dalam media sosial dengan gua besar yang akan runtuh tidak lama lagi. Itu semua tidak tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.

Abd Rasid turut berkongsi pengalamannya menjalankan siasatan tanah dalam proses pembinaan Menara Berkembar Petronas.

Menurutnya, kaviti di dasar tapak pembinaan mengejutkan para jurutera, namun semua langkah telah diambil untuk menangani isu berbangkit.

“Kita memang jumpa gua-gua kecil. Tetapi jurutera kita yang hebat-hebat telah gunakan kaedah-kaedah mitigasi termaju pada waktu itu, bagi menangani isu gua-gua kecil bawah permukaan ini,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Abd Rasid turut menjelaskan bahawa batu kapur yang terbentuk di dasar Kuala Lumpur telah melalui proses geologi menjadi batuan marmar yang lebih kuat. Maka, dakwaan bahawa Kuala Lumpur akan terbenam adalah tidak berasas.

“Kebanyakan batu kapur di Kuala Lumpur ini bukan lagi dalam bentuk batu kapur asal. Ini kerana, kita ada batu granit yang menerobos dari bawah.

“Kalau kita ke Hulu Langat, kita ada kawasan berbukit yang merupakan kawasan-kawasan granit. Hal yang sama juga berlaku di kawasan-kawasan sekitar Subang Jaya.

“Maka, batu kapur telah melalui proses metamorfosisme yang menjadikan batu kapur itu bersifat marmar.

“Sebenarnya batu kapur di Kuala Lumpur ini lebih kuat kerana ia dalam bentuk marmar. Usah bimbang mengenai kenyataan berkaitan gua-gua itu semua tidak berasas berdasarkan kepada kajian kita,” ujarnya.

Pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong warga India, Vijayalechumy, 48, terjatuh ke dalam tanah jerlus berkedalaman lapan meter di Jalan Masjid India.

Ia disusuli dengan insiden tanah jerlus yang berlaku berdekatan Pondok Polis Masjid India awal pagi 28 Ogos. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!