Kutu emas: Peluang pelaburan atau perangkap riba?

Setiap peserta perlu faham syarat, risiko agar niat menabung tak jadi bebanan babitkan unsur riba

PERMAINAN kutu emas boleh menjadi cara yang bermanfaat untuk menabung atau melabur jika dilaksanakan mengikut panduan syariah. -Foto: Canva/ Gambar kecil: DR AZMIR AZRI AHMAD
PERMAINAN kutu emas boleh menjadi cara yang bermanfaat untuk menabung atau melabur jika dilaksanakan mengikut panduan syariah. -Foto: Canva/ Gambar kecil: DR AZMIR AZRI AHMAD
A
A
A

SKIM kutu emas antara pilihan popular masyarakat pada hari ini bagi mengumpul wang secara berkumpulan demi membeli emas untuk tujuan pelaburan.

Namun di sebalik peluang itu, ada risiko yang tersembunyi dan persoalannya adakah skim kutu emas ini benar-benar peluang menabung yang bijak atau ia perangkap membawa kepada dosa riba dilarang Islam?

Tiga jenis kutu emas

Untuk menjawab persoalan itu, kita perlu meneliti satu persatu senario dan jenis-jenis kutu emas dalam masyarakat ketika ini.

1. Peserta dapat wang, beli emas ikut harga semasa.

Peserta bersetuju menyumbang sejumlah wang setiap bulan, contohnya RM300 untuk membeli emas pada akhir tempoh kutu.

Setiap bulan, seorang peserta akan dipilih melalui undian untuk menerima jumlah wang terkumpul. Ia kemudian digunakan untuk membeli emas mengikut harga semasa.

Misalnya, harga satu dinar emas bersamaan RM900. Selepas tiga bulan, peserta yang mendapat giliran akan menerima RM900 dan membeli emas.

Artikel Berkaitan:

Jika harganya naik kepada RM1,000, peserta perlu menambah RM100 untuk membelinya mengikut harga semasa. Sebaliknya, jika nilai emas turun, lebihan baki wang menjadi milik peserta.

Penilaian hukum: Harus mengikut pandangan Irsyad Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

BAGI mereka yang hendak menyertai skim kutu emas, fahami sepenuhnya syarat-syarat dan risiko yang terlibat sebelum menyertainya agar niat menabung tidak berubah menjadi beban yang melibatkan unsur riba dilarang dalam Islam. -Foto: Canva
BAGI mereka yang hendak menyertai skim kutu emas, fahami sepenuhnya syarat-syarat dan risiko yang terlibat sebelum menyertainya agar niat menabung tidak berubah menjadi beban yang melibatkan unsur riba dilarang dalam Islam. -Foto: Canva

Keharusan itu tertakluk kepada tidak terdapat sebarang perjanjian atau syarat yang mengikat bahawa pembayaran kutu tersebut mesti dilakukan dalam bentuk emas. Jika tidak, ia membuka ruang riba an-nasi’ah yang dilarang syarak.

2. Skim kutu emas dengan harga tetap (locked price).

Dalam skim itu, seorang penganjur dikenali sebagai mak kutu menguruskan kumpulan peserta yang berminat membeli emas.

Mak kutu kebiasaannya salah seorang ahli kumpulan atau individu luar yang dipercayai semua peserta. Lazimnya, dia sudah memiliki stok emas atau ejen kepada kedai syarikat emas.

Sebagai contoh, jika harga satu dinar emas adalah RM900, mak kutu akan membuat perjanjian dengan peserta untuk mengunci harga itu.

Setiap peserta kemudian menyumbang RM300 setiap bulan selama tiga bulan. Peserta yang mendapat giliran akan menggunakan wang terkumpul untuk membeli emas dengan harga dikunci secara tunai.

Proses itu diulang setiap bulan sehingga semua peserta menerima satu dinar emas masing-masing.

Penilaian Hukum: Menurut Irsyad Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dihukumkan sebagai harus kerana harga emas yang dikunci antara mak kutu dan ahlinya merupakan perjanjian (wa'ad) yang dibenarkan syariah.

Namun begitu, terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian. Transaksi pembelian emas mesti dilakukan selepas peserta kutu menerima wang tunai, kemudian membeli emas mengikut harga yang telah dikunci.

Selain itu, peserta juga harus mempunyai pilihan membeli emas tersebut atau melakukan transaksi lain.

3. Serahan emas dalam bentuk berat sudah ditetapkan.

Menerusi skim itu, setiap ahli dalam kumpulan kutu akan menerima emas dengan berat telah ditetapkan. Serahan emas dilakukan secara langsung kepada ahli yang mendapat giliran tanpa mengira perubahan harga emas semasa.

Contohnya, lima ahli bersetuju bahawa setiap orang akan menerima 10 gram emas mengikut giliran.

Setiap bulan, mereka menyumbang wang bersamaan harga semasa emas itu.

Pada bulan Januari, harga 10 gram emas adalah RM2,500. Setiap ahli akan menyumbang RM500 dan ahli yang mendapat giliran menerimanya dalam bentuk fizikal.

Kemudian pada bulan Mei, harga emas 10 gram naik kepada RM2,600. Ini bermakna setiap ahli yang menyumbang dan mendapat giliran perlu membayar RM520. Akhirnya, ahli yang mendapat giliran akan menerima emas 10 gram dalam bentuk fizikal.

Penilaian Hukum: Terdapat isu syariah seperti gharar dan unsur riba. Gharar berlaku apabila terdapat ketidakpastian dalam nilai wang yang ditukarkan dengan emas setiap bulan yang perlu dibayar oleh peserta kerana nilai emas tidak konsisten.

Malah, menimbulkan risiko spekulasi yang boleh menzalimi pihak terlibat kerana mereka mungkin menerima nilai yang tidak setara dengan hak mereka.

Jika disyaratkan untuk membayar dalam bentuk emas sahaja, turut membuka ruang kepada riba an-nasi’ah.

SKIM kutu emas mesti mematuhi undang-undang Malaysia, khususnya Akta 28, Seksyen 2, yang melarang promosi skim itu sebagai entiti perniagaan. -Foto: Canva
SKIM kutu emas mesti mematuhi undang-undang Malaysia, khususnya Akta 28, Seksyen 2, yang melarang promosi skim itu sebagai entiti perniagaan. -Foto: Canva

Panduan syariah

Kepada mereka yang menganjurkan atau menjadi peserta kutu emas, berikut panduan yang perlu dipenuhi dalam memenuhi kehendak syarak:

1. Beri pilihan tunai kepada peserta.

Tidak boleh wajibkan peserta menerima emas pada setiap giliran masing-masing.

2. Patuhi undang-undang dan tiada orientasi keuntungan.

Skim kutu emas mesti mematuhi undang-undang Malaysia khususnya Akta 28, Seksyen 2, yang melarang promosi skim itu sebagai entiti perniagaan. Ia mesti kekal sebagai cara untuk saling membantu, bukan untuk mencari keuntungan.

3. Syarat jelas dan elak penipuan.

Syarat-syarat penyertaan mesti ditetapkan dengan jelas sebelum akad dimulakan.

Pastikan ahli terlibat dipercayai atau dikenali untuk elak penipuan dan proses pengumpulan data serta aku janji dilakukan secara bertulis untuk menjamin komitmen dan tanggungjawab.

Mengikut laman web Mufti Selangor, haram bermain kutu tanpa akad berlafaz atau kontrak bertulis.

4. Tiada caj tambahan atau penalti ke atas hutang.

Jumlah wang yang disumbangkan harus sama untuk setiap peserta tanpa sebarang caj tambahan yang boleh dianggap sebagai riba meskipun peserta terlewat bayar.

Kesimpulannya, para ulama membenarkan permainan kutu sebagai satu bentuk tolong-menolong peserta mendapatkan dana asalkan tiada pihak yang mengambil keuntungan dari skim tersebut dan semua ahli mendapat hak serta peluang sama rata.

Ingatlah, permainan kutu emas boleh menjadi cara yang bermanfaat untuk menabung atau melabur jika dilaksanakan mengikut panduan syariah.

Penting bagi setiap peserta untuk memahami sepenuhnya syarat-syarat dan risiko yang terlibat sebelum menyertai agar niat menabung tidak berubah menjadi beban yang melibatkan unsur riba dilarang dalam Islam.

*Artikel ditulis oleh Dr Azmir Azri Ahmad yang merupakan Pengamal Kewangan Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!