Kes rogol: Da'i Syed dijel 10 tahun, tiga sebatan

Syed Shah Iqmal dihukum penjara serta-merta bermula Jumaat.
Syed Shah Iqmal dihukum penjara serta-merta bermula Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pendakwah selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Hakim, Norazlin Othman memerintahkan Syed Shah Iqmal, 29, dihukum serta-merta selepas didapati bersalah susulan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Semasa membaca keputusan penghakiman, beliau berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan.

“Pasukan pendakwaan berjaya membuktikan bahawa tertuduh merupakan individu yang mula-mula mengajak mangsa keluar dan membawa ke rumahnya.

“Selain itu, ketika kejadian, mangsa yang lemah dan lurus bendul dibuktikan tidak boleh membuat keputusan serta melawan tertuduh,” kata hakim ini yang kemudiannya menangguhkan prosiding bagi memberi peluang kepada pembelaan untuk bersedia dengan hujahan dalam mitigasi untuk mengurangkan hukuman.

Mendengar keputusan berkenaan, tertuduh yang memakai kemeja putih dan berkot hijau, kelihatan terkejut lalu menunduk ketika berada dalam kandang tertuduh.

Isterinya, pengacara, Nurulhana Ismail, 38, yang sedang berpantang anak pertama, menenangkan Syed Shah Iqmal yang kelihatan sukar menerima keputusan itu.

Lebih memilukan, ahli keluarga turut membawa bayi perempuan mereka yang berusia 16 hari untuk berjumpa Syed Shah Iqmal sebelum dibawa ke Penjara Kajang.

Sebaik prosiding bersambung, peguam, Syed Amirul Syed Edros merayu, mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana anak guamnya itu perlu menyara isteri dan baharu sahaja menimang anak perempuan.

Artikel Berkaitan:


Menurutnya, jika mahkamah membenarkan penangguhan hukuman, ia tidak akan memperjudiskan mana-mana pihak kerana satu ikat jamin baharu akan diberikan berserta syarat yang lebih ketat bagi memastikan tertuduh tidak melarikan diri.

“Justeru, saya memohon penangguhan hukuman kerana kami akan memfailkan rayuan, jika dia dipenjara, ia menimbulkan kesan signifikan.

“Ini kesalahan pertamanya dan dia tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin membantah penangguhan hukuman kerana tiada sebarang keistimewaan untuk mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman terbabit.

Menurutnya, mahkamah perlu mengambil kira keseriusan kesalahan yang dipertuduhkan apatah lagi jenayah yang telah dibuktikan berlaku.

“Jika mahkamah membenarkan permohonan pembelaan, saya mencadangkan mahkamah menaikkan nilai ikat jamin kepada RM20,000 dengan dua penjamin.

“Ia termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah menolak permohonan penangguhan itu kerana tiada keadaan khas untuk mempertimbangkan perkara berkenaan.

Ekoran itu, Syed Shah Iqmal terus digari untuk di bawa ke Penjara Kajang.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!