Tanah jerlus di Kampung Kerinchi bukan berpunca paip pembetung IWK

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian tersebut di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian tersebut di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur pada Isnin bukan berpunca daripada paip pembetungan awam Indah Water Konsortium (IWK).

IWK Sdn Bhd dalam kenyataan menjelaskan, pasukan operasi syarikat pengurusan sisa kumbahan itu memeriksa lokasi berkenaan sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, aliran air kumbahan di jajaran paip pembetungan didapati lancar seperti biasa.

“Pemeriksaan lanjut telah dibuat pada petang semalam (Khamis) dengan menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV).

“Hasil siasatan mendapati bahawa paip dan lurang pembetungan awam berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kerosakan dikenal pasti.

“Pihak IWK berpendapat kejadian tersebut adalah disebabkan oleh punca lain yang memerlukan penyiasatan terperinci oleh agensi lain yang berkaitan.

“Hasil siasatan CCTV telah dimaklumkan IWK kepada pihak DBKL,” kata syarikat tersebut pada Jumaat.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan DBKL sebelum ini, lokasi kejadian membabitkan laluan pejalan kaki dan sebahagian kecil struktur jalan bersebelahan.

Artikel Berkaitan:

Tiada kerosakan harta benda awam dan mangsa terlibat manakala kerja-kerja awalan seperti pemasangan tali keselamatan, water barrier dan kon telah dilakukan.

Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan seorang pelancong wanita warga India, Vijayaletchumi, 48, hilang sejak lapan hari lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!